Tidak guna jadi hero Melayu jika hubungan kaum rapuh, tegas Anwar

Presiden PKR Anwar Ibrahim menggesa pemimpin tidak hanya memperjuangkan nasib bangsa Melayu sahaja, tetapi turut mempertahankan kedudukan kaum-kaum lain.

SHAH ALAM: Presiden PKR Anwar Ibrahim mengakui beliau ada cara menawan hati orang Melayu dengan mudah, bahkan turut menegaskan bukan masalah besar baginya untuk dilihat sebagai “hero” kepada kaum berkenaan.

Bagaimanapun kata Anwar, beliau tidak akan bertindak sedemikian jika tindakannya itu menyebabkan lebih banyak perpecahan dalam negara hingga menghancurkan kehamornian rakyat yang sudah lama terjalin.

“Saya mampu sahaja jadi hero orang Melayu, mudah sahaja. Saya tahu apa yang hendak dibuat. Sama seperti Xavier Jayakumar (anggota Kabinet dan pemimpin PKR), dia boleh jadi hero buat orang India.

“Tetapi kalau jadi hero hingga menimbulkan perpecahan dan permusuhan, itu sebenarnya pengkhianat,” kata beliau dalam Seminar Nasional Hidup Bersama Dalam Kepelbagaian Pembinaan Bangsa dan Budaya Damai, malam tadi.

Beliau tidak merujuk kepada mana-mana kes secara khusus tetapi seminar ini diadakan beberapa hari selepas berlangsungnya Kongres Maruah Melayu di sini Ahad lalu. Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucaptama dalam kongres itu.

Menurut Anwar, tidak dinafikan tindakan mempertahankan serta berbangga dengan kaum dan agama masing-masing merupakan tindakan murni, namun ia tidak berguna lagi sekiranya berlaku ketegangan.

“Kita harus pilih, hendak pecahkan seperti sekarang yang lebih tegang?

“Kita boleh melakar sesuatu bagi faedah kaum dan agama tetapi jangan sampai memusnahkan. Di Malaysia, ada perkara yang sudah disepakati dan sering diulang oleh pimpinan Pakatan Harapan.

“Soal bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsan, agama Islam merupakan agama rasmi persekutuan, kedudukan Raja-Raja Melayu akan tetap dipertahankan dan hak istimewa Melayu dan Bumiputera,” kata ahli Parlimen Port Dickson.

Anwar yang disebut sebagai perdana menteri menanti menegaskan, betapa pentingnya nilai kemanusiaan dalam setiap individu dan menggesa pemimpin tidak seharusnya memperjuangkan nasib bangsa Melayu sahaja, tetapi turut mempertahankan kedudukan kaum-kaum lain di dalam negara.

“Kita kadang-kadang tidak dilatih dalam keadaan begitu, bukan sahaja orang Melayu tetapi Cina dan India juga mungkin begitu. Apakah kita harus terima ini sebagai suatu kebiasaan.

“Kemiskinan berlaku buat semua kaum, majoritinya kaum Melayu dan Bumiputera, tetapi kalau India di estet dan bangsa Cina di pelusuk bandar yang miskin, itu juga tanggungjawab kita. Mana sikap dan nilai kemanusiaan kita,” katanya.

Jelas Anwar, dasar dirangka pimpinan pada masa ini tidak seharusnya mengambil kira kepentingan bangsa Melayu semata-mata tetapi harus menilai kepentingannya buat seluruh rakyat Malaysia.

“Apakah munasabah kalau kita lakar satu dasar lain untuk ubah suai Dasar Ekonomi Baru, demi kebaikan orang Melayu dan rakyat Malaysia, kita mesti tentukan naratif baru.