Belanjawan 2020: PH cuba terbaik tapi persepsi dipengaruhi banyak faktor

Pembentangan Belanjawan 2020, bajet kedua Pakatan Harapan, dibentangkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng semalam.

PETALING JAYA: Setiap belanjawan mempunyai kekuatan dan kekurangan tetapi kerajaan pusat menerusi Belanjawan 2020 dilihat cuba melakukan terbaik bagi memastikan keadilan kepada semua, kata penganalisis Awang Azman Awang Pawi.

Bagaimanapun kata beliau, persepsi tentang pencapaian atau prestasi sesebuah kerajaan dipengaruhi oleh banyak faktor lain.

“Namun, dalam konteks ini tidak semua dapat puaskan hati. Mungkin golongan pertengahan M40 tidak berpuas hati apabila tumpuan lebih pada B40.

“Masalah M40 adalah gaji kasar mereka adalah M40 tetapi gaji bersih adalah kategori B40. Seringkali bajet tahunan dilihat mengabaikan golongan pertengahan dan ini juga berlaku dalam Belanjawan 2020,” kata beliau kepada FMT.

Beliau berkata, walaupun kerajaan menyatakan mereka berjaya menyelesaikan hutang kerajaan lalu tapi pada masa sama, terpaksa mengurang dan memotong peruntukkan lain seperti pembangunan inftrastruktrur.

“Tindakan menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mungkin dianggap tanggungjawab yang kerajaan perlu buat dan pencapaian buat mereka, tetapi pada masa sama banyak lagi kerajaan perlu dilakukan untuk memastikan negara terus maju dan makmur,” kata beliau dalam Belanjawan 2020 dengan RM297 bilion peruntukan dibentangkan semalam.

Mengenai impak Belanjawan 2020 terhadap kerajaan Pakatan Harapan, beliau berpandangan banyak isu yang tidak dapat diatasi sepenuhnya.

“Apabila banyak isu berkaitan kos sara hidup semakin tinggi, peluang pekerja, isu yuran institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tinggi maka Belanjawan 2020 tidak mampu sepenuhnya menangani isu-isu ini kerana ia mengambil masa yang lama dan langkah menyeluruh untuk diselesaikan.

“Apa yang pasti kepercayaan dan sokongan rakyat semakin menurun dan perlu ditangani bukan sahaja melalui belanjawan,” katanya.

Pembentangan Belanjawan 2020 kali ini disifatkan prihatin dalam memberi pelbagai insentif kepada rakyat dan pelbagai peruntukan lain.

Kata beliau, pemberian Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada golongan OKU sebanyak RM300 pada tahun hadapan antara contoh menunjukkan kerajaan Pakatan Harapan bersikap prihatin dalam membantu golongan kurang bernasib baik itu.

“Bantuan kepada golongan OKU ini menunjukkan kerajaan begitu prihatin meskipun kemudahan ini sangat penting untuk mereka menjalani kehidupan seharian selain mendapat peluang pekerjaan,” katanya kepada FMT.

Kerajaan turut memperuntukkan sebanyak RM80 juta untuk menaik taraf, membaiki dan menyelenggara 67 pelbagai institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) termasuk pusat jagaan kanak-kanak, OKU dan warga emas.

Sebanyak RM20 juta juga diperuntukkan untuk lima Pusat Latihan Berdikari baru, program latihan bagi Sindrom Down dan Taska OKU.

Begitu juga, pada masa yang sama, perkhidmatan latihan dan tunjuk ajar yang disediakan oleh penyedia perkhidmatan latihan kepada golongan OKU akan dikecualikan cukai perkhidmatan.

Selain isu, Awang Azman juga berpandangan peningkatan gaji minimum kepada kepada RM1,200 sebulan hanya di bandar utama adalah suatu yang wajar.

“Kalau kita lihat dulu kenaikan kos sara hidup dianggap isu persepsi oleh kerajaan tetapi kali ini kerajaan mula menyedari ia adalah realiti yang berlaku hari ini.

“Kerajaan perlu akur dengan apa yang berlaku pada rakyat. Justeru kita melihat kerajaan juga terpaksa akur pada kos hidup yang sangat tinggi,” katanya.