Fasa ketiga dapatkan semula dana 1MDB akan bermula, kata KP SPRM

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya diberi peluang untuk menggunakan senjata api semasa hadir merasmikan pertandingan menembak antara media anjuran SPRM.

KAJANG: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memulakan fasa ketiga dalam usahanya mendapatkan semula dana 1MDB daripada para penerima.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata, fasa ketiga itu membabitkan individu dan syarikat yang menerima amaun sebanyak RM500,000 ke bawah.

“Kita akan pergi kepada fasa ketiga mengutip semula wang 1MDB daripada penerimanya.

“Fasa pertama sebelum ini menyaksikan pelucutan hak sivil difailkan ke atas penerima dana berkenaan, yang mana wang itu masih dalam akaun mereka dan dibekukan kemudian oleh kami.

“Pada fasa kedua pula, kami meminta penerima menjelaskan semula bayaran itu. Ini bermakna kami akan pergi kepada penerima amaun besar dahulu untuk tampil ke hadapan,” katanya di Lapang Sasar Maktab Penjara Kajang hari ini.

Latheefa berkata demikian ketika ditanya mengenai status siasatan terhadap Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsuddin yang turut didakwa menerima dana 1MDB.

Bagaimanapun, namanya tidak disenaraikan dalam senarai nama notis terbaru tuntutan kompaun daripada penerimanya.

Latheefa bagaimanapun mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa senarai awal dikeluarkan SPRM bukanlah senarai penuh dan tidak muktamad.

“Ada beratus orang terima dana 1MDB tetapi kami menyenarai pendek penerima jumlah besar, yang menerima RM500,000 ke atas dan melibatkan 80 individu dan entiti. Ia bukan isu selektif atau kepentingan politik,” katanya.

Latheefa bagaimanapun enggan mengulas ketika ditanya mengenai status siasatan terhadap adik Najib Razak, Nazir Razak yang sebelum ini memaklumkan akan tampil ke suruhanjaya itu untuk membantu siasatan.

“Kes masih berjalan tidak boleh bagi apa-apa maklumat tetapi buat masa ini apa yang kami lakukan ialah menyerahkan kompaun notis kepada entiti dan wakil entiti dengan individu.

“Kita sudah bagi tempoh dua minggu kepada dia daripada tarikh serah notis dan terpulang kepada mereka sama ada hendak buat rayuan atau sama ada memohon masa lebih untuk membuat bayaran balik.

“Kita akan tunggu dia berkongsi maklumat tetapi kita tidak boleh menyatakan butiran lanjut mengenainya buat masa sekarang dan terpulang kepada entiti-entiti berkenaan bagaimana mereka selesaikan bayaran itu kepada SPRM.”