Husam: Belanjawan 2020 pulih keyakinan rakyat ke atas PH

Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan, Husam Musa yakin rakyat telah melihat PH meletakkan asas untuk kemajuan ekonomi masa depan.

BACHOK: Pakatan Harapan (PH) Kelantan menyifatkan Belanjawan 2020 dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semalam berjaya memulihkan keyakinan rakyat terhadap kemampuan kerajaan dalam mengurus ekonomi negara.

Pengerusinya, Husam Musa berkata sebelum ini secara keseluruhannya ada yang bersikap pesimis terhadap kedudukan ekonomi dan kemampuan kerajaan PH, berikutan masalah yang diwarisi dari segi hutang dan pengurusan kewangan kerajaan terdahulu.

“Tetapi dalam belanjawan ini saya yakin rakyat telah melihat PH meletakkan asas untuk kemajuan ekonomi pada tahun-tahun akan datang.

“Pada keseluruhannya saya lihat belanjawan ini berjaya memulihkan keyakinan rakyat dan mereka mula percaya, PH berjaya mengurus untuk mengembangkan ekonomi melalui Belanjawan 2020,” katanya kepada pemberita di Majlis Perasmian Tanaman Fertigasi Berkelompok dan Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Syarikat Pergap Enterprise di sini, hari ini.

Kerajaan semalam memperuntukkan RM297 bilion untuk Belanjawan 2020, tidak termasuk simpanan luar jangka berjumlah RM2 bilion.

Lim berkata, ia adalah peningkatan RM19.5 bilion berbanding RM277.5 bilion tahun lalu tanpa mengambil kira peruntukan secara ‘one-off’ bagi bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan cukai pendapatan tertunggak.

Katanya, peruntukan itu termasuk RM241 bilion perbelanjaan mengurus, manakala bakinya RM56 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Dalam pada itu Husam yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) berkata, agensi itu mendapat peruntukan sebagaimana yang dipohon sepenuhnya.

Katanya dengan peruntukan itu pihaknya berhasrat mengembangkan bantuan dan sokongan, dalam bidang bukan padi bagi menjana kekayaan petani di zon Kada, selain meningkatkan pengeluaran hasil beras dan padi negara.