KPN: Tiada siapa terlepas jika terlibat keganasan termasuk pemimpin

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berkata tidak ada sesiapa pun terkecuali jika terlibat dalam aktiviti keganasan.

KUALA LUMPUR: Tiada pengecualian kepada mana-mana individu termasuk ahli politik dan wakil rakyat jika mereka terlibat atau didapati ada kaitan dengan aktiviti keganasan, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador hari ini.

Sehubungan itu beliau berkata, sesiapa sahaja yang disyaki atau “dihidu” terlibat dengan keganasan, akan dikenakan tindakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.

Pada masa yang sama, kata beliau polis tidak akan mengambil tindakan secara tergesa-gesa kerana terdapat beberapa proses yang perlu diteliti sebelum mana-mana tangkapan atau tindakan dikenakan.

“Kerana kita kena ambil bukti (dan) siasat dahulu, baru kami ambil tindakan.

“Selagi ukurannya keganasan, tiada siapa akan terlepas,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan perasmian Bulan Sukan Negara di Ibu Pejabat Polis di Bukit Aman di sini.

Dua hari lalu, Exco Melaka yang juga Adun Gadek, G Saminathan serta Adun Seremban Jaya, P Gunasekaren ditahan polis bersama lima individu lain kerana dipercayai ada hubungan dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Polis tidak menolak akan ada lagi tangkapan ketika ada pihak tertentu yang turut mengaitkan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy dengan aktiviti itu. Beliau mengalu-alukan jika pihak polis mahu mengambil tindakan ke atasnya.

LTTE yang diketuai V Prabhakaran melancarkan pemberontakan untuk mewujudkan wilayah autonomi Tamil Eelam di utara Sri Lanka, apabila golongan majoriti Sinhala menindas masyarakat minoriti Tamil.

Kempen keganasan LTTE mendapat sokongan moral dan pembiayaan pelbagai pihak, termasuk diaspora Tamil yang bersimpati dengan nasib masyarakat Tamil negara itu.