‘Tak perlu heboh’ geran khas RM32 juta, kata pemimpin Sarawak

(Dari kiri) Menteri pelancongan Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah’ ahli Parlimen Batang Sadong, Nancy Shukri dan ketua Pemuda SUPP Michael Tiang.

KUCHING: Pemimpin politik Sarawak melabel Belanjawan 2020 sebagai “halua mata dan telinga” untuk rakyat.

Bagaimanapun realitinya kata mereka, ia menunjukkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) gagal menunaikan janji pilihan raya.

Menteri pelancongan negeri, Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, antara lain Putrajaya tidak menunaikan janjinya untuk mengembalikan 50% cukai dikutip di Sarawak dan 20% royalti minyak.

Beliau mengaku belanjawan tersebut memperuntukkan geran khas kepada Sarawak, tetapi jumlahnya “bukanlah sesuatu perlu dihebohkan”.

“Sarawak adalah negeri terbesar di Malaysia dan memperuntukkan hanya RM32 juta adalah seperti memberi habuk kepada rakyat negeri ini.

“Selain itu, berdasarkan peruntukan pembangunan yang diberikan kepada Sarawak, maka kita boleh lupakan hasrat untuk menjadi setaraf dengan Semenanjung,” katanya.

Karim berkata, belanjawan berkenaan bertujuan memenuhi keperluan Semenanjung, dengan menambah bahawa jurang pembangunan antara Semenanjung dengan negeri Borneo akan menjadi lebih besar.

Ahli Parlimen Batang Sadong Nancy Shukri berkata, kebanyakan program yang diumumkan dalam Belanjawan 2020 telah pun dijalankan oleh kerajaan sebelum ini.

Beliau berkata, kerajaan kini hanya memperkenalkan cukai perkhidmatan digital bagi menambah hasil kerajaan

“Seperti dijangka, Sarawak tidak mendapat apa-apa yang sepatutnya diberikan kepadanya,” kata beliau.

Nancy berkata, kerajaan persekutuan memperuntukkan geran khas berjumlah hanya RM16 juta kepada Sarawak sejak 1969.

“Dalam Belanjawan 2020, Sarawak akan menerima geran khas sebanyak RM32 juta dan jumlah itu akan ditambah kepada RM54 juta dalam tempoh lima tahun.

“Jelas satu semakan wajar di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan seperti dipersetujui oleh Jawatankuasa Pemandu MA63 tidak dibuat.

“Ini menunjukkan kerajaan persekutuan sekali lagi mempermainkan kami,” katanya, dengan menambah bahawa beliau akan membahaskan perkara itu di Dewan Rakyat.

Nancy juga berkata, peruntukan untuk projek bekalan air luar bandar sebanyak RM70 juta dan perbekalan elektrik berjumlah RM500 juta kepada Sabah dan Sarawak tidak menyebut jumlah yang akan diterima oleh masing-masing negeri.

“Kita berharap kerajaan PH memberi tumpuan kepada usaha memberi khidmat kepada rakyat, sekali gus berhenti bermain politik,” katanya.

Ketua Pemuda Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Michael Tiang mengalu-alukan pertambahan geran khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, tetapi menyifatkan angka RM32 juta itu sebagai “kecil”.

“Peruntukan tambahan RM32 juta itu masih terlalu sedikit berbanding royalti minyak 20% yang dijanjikan oleh PH semasa pilihan raya umum ke-14.

“Jumlahnya kecil berbanding hasil pengeluaran minyak Sarawak, yang jelas melebihi RM200 juta sehari,” katanya.

Tiang berkata, menurut laporan, Sabah akan menerima peruntukan pembangunan sebanyak RM5.2 bilion pada 2020, sementara Sarawak mendapat hanya RM4.4 bilion.

“Apakah ini satu lagi langkah untuk meminggirkan Sarawak?” soalnya.

Beliau berkata, rakyat Sarawak dipermainkan oleh kerajaan PH yang terus-menerus memungkiri janjinya.

“Di manakah pemimpin PH Sarawak yang melaungkan slogan untuk memberi kami kehidupan lebih baik sebelum pilihan raya umum ke-14?” soal beliau.