
SYDNEY: Seorang ahli ekonomi Australia yang menghabiskan hampir dua dekad di penjara bagi kesalahann membunuh seorang pegawai polis kanan yang dia tidak lakukan, telah dianugerahkan pampasan lebih AUS$7 juta (RM19.8 juta), hari ini.
David Eastman, bekas kakitangan awam, disabitkan kesalahan pada 1995 berhubung kes membunuh pegawai polis persekutuan Australia, Colin Winchester dan dihukum penjara seumur hidup.
Eastman, yang berpendirian tidak bersalah dan mengemukakan rayuan beberapa kali, telah dibebaskan pada 2014 selepas sabitan dibatalkan.
Mahkamah Agung memerintahkan kerajaan membayar pampasan. Eastman memohon pampasan minimum AUS$18 juta (RM50.96 juta).
Lelaki berusia 74 tahun itu memberitahu mahkamah, bukan sahaja dia kehilangan peluang untuk memiliki keluarga dan meneruskan kerjayanya, ibu dan saudaranya juga meninggal dunia ketika dia berada di penjara.
Mahkamah juga mendengar dakwaan dia menyaksikan pembunuhan semasa penahanan dan mengalami gangguan penglihatan satu mata selepas diserang oleh banduan lain pada 2006.
Peguam Sam Tierney memberitahu pemberita di luar mahkamah di Canberra, pelanggannya “sangat gembira” dengan keputusan itu.
“Dia kehilangan sebahagian besar kehidupan dan dia sudah pasti ada pandangan tentang apa yang akan dilakukan dengan wang itu,” katanya.
Tidak jelas sama ada kerajaan akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu. Kes itu sudah menelan kos lebih AUS$30 juta (RM84 juat), menurut penyiar awam ABC.
Winchester ditembak mati ketika keluar dari keretanya dekat rumah dia di pinggir bandar Canberra pada 1989.
Tiada siapa yang bertanggungjawab terhadap kejadian itu.