Dr Mahathir pertahan tangkapan LTTE di bawah Sosma

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau berpuas hati dengan tindakan polis menahan beberapa individu dikaitkan dengan kumpulan pengganas LTTE.

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad hari ini mempertahankan tindakan polis menahan beberapa individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Beliau berkata, selagi tidak ada undang-undang yang mengantikan Sosma, maka akta itu boleh digunakan.

“Akta Sosma masih ada, selagi tiada akta lain, kita boleh guna (Sosma),” katanya ketika ditemui selepas merasmikan satu persidangan antarabangsa mengenai Revolusi Industri 4.0 di sini.

Semalam, Presiden PKR Anwar Ibrahim bersetuju polis menahan beberapa individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas LTTE.

Namun katanya, penahanan berkenaan tidak seharusnya dibuat di bawah Sosma yang disifatkannya sebagai terlalu keras.

Dalam pada itu, Mahathir mempertahankan tindakan polis menahan individu disyaki terlibat dengan LTTE dan berpuas hati dengan pihak berkuasa itu.

“Saya ada (dapat) taklimat daripada polis dan mereka mempunyai sebab-sebab mereka bertindak.

“Saya puas hati dengan sebab-sebab mereka mengambil tindakan itu,” katanya.

Exco Melaka yang juga Adun Gadek, G Saminathan dan Adun Seremban Jaya, P Gunasekaran bersama dua ahli DAP Melaka adalah antara 12 individu ditahan polis pada Khamis serta Sabtu kerana disyaki ada kaitan dengan kumpulan pengganas LTTE.

LTTE disenarai hitam sebagai kumpulan pengganas di Malaysia sejak 2014.