
JAKARTA: Jerebu terburuk berlaku di kota Palembang, Sumatera hari ini apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 921.
Jarak penglihatan di kota berpenduduk 1.5 juta orang itu kurang dari 150 meter menyebabkan pihak berkuasa mengarahkan sekolah ditutup.
Ketua Pusat Data, Informasi dan Hubungan Masyarakat, Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia, Agus Wibowo berkata BNPB mengerahkan tujuh helikopter melakukan pengeboman air dan pembenihan awan, manakala lebih 8,000 petugas bertungkus lumus memadamkan kebakaran hutan serta ladang.
“Wilayah Sumatera Selatan mencapai tahap berbahaya atau (IPU) 921.
“Kualiti udara itu seiring jumlah titik panas di wilayah itu hingga mencapai 691 titik atau tertinggi di antara wilayah lain, seperti Riau, Jambi dan beberapa kawasan di Kalimantan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Keadaan jerebu di Palembang yang semakin teruk itu berikutan tiupan angin dari tenggara ke barat laut yang membawa jerebu dari kawasan kebakaran teruk di Sumatera dan Kalimantan ke kota itu.
Bulan lalu, pergerakan angin yang bertiup dari barat laut ke timur dan timur laut menyebabkan beberapa negara jiran dilanda jerebu teruk.
Lebih 300,000 hektar kawasan hutan dan ladang di Indonesia terbakar, terutamanya di Sumatera dan Kalimantan sejak 1 Jan lalu.
Media tempatan melaporkan jarak penglihatan rendah itu menyebabkan penerbangan di Lapangan Terbang Sultan Mahmud Badarudin II di Palembang terpaksa ditunda.