PAS mahu kerajaan keluar kertas putih isu LTTE

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan.

PETALING JAYA: PAS menggesa kerajaan membentangkan satu kertas putih susulan penahanan 12 orang termasuk dua Adun DAP yang dikaitkan dengan usaha menghidupkan semula kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di Malaysia.

Setiausaha agungnya, Takiyuddin Hassan berkata dokumen itu perlu untuk mengetahui mengenai penyebaran ideologi, rangkaian organisasi dan kegiatan pihak-pihak disyaki terlibat dengan LTTE di Malaysia, yang turut dikaitkan dengan beberapa pemimpin politik tempatan.

“PAS memandang serius insiden penangkapan beberapa individu berprofil tinggi disyaki terlibat dengan aktiviti yang menyokong fahaman pelampau LTTE di Malaysia sebagaimana diumumkan oleh polis.

“PAS menggesa agar pihak PDRM diberikan ruang bebas untuk menyiasat dan mengambil segala tindakan undang-undang perlu bagi membanteras kegiatan ini, yang boleh menjejaskan keselamatan dan keharmonian negara tanpa campur tangan dan gangguan mana-mana pihak,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan.

Sejak Khamis lalu, seramai 12 orang termasuk dua Adun DAP ditahan polis bagi membantu siasatan kes di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012. Kumpulan pertama seramai tujuh orang termasuk dua Adun ditahan Khamis lalu manakala baki pada Sabtu.

Semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata tindakan polis menahan 12 individu terbabit adalah mengikut peruntukan undang-undang.

Kata Mahathir, tindakan polis itu juga dilakukan tanpa campur tangan pentadbirannya dan beliau menyangkal kononnya tangkapan itu bagi melemahkan mana-mana pihak.