Tiada keperluan gugur Exco ditahan polis, kata ketua menteri Melaka

G Saminathan (kanan) dan P Gunasekaren ditahan pegawai-pegawai dari Bukit Aman pagi ini, bersama seorang pemimpin NGO India dari Perak. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Ketua Menteri Adly Zahari berkata tiada keperluan bagi menggugurkan Exco Melaka yang kini ditahan berhubung isu dakwaan penglibatan dalam kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Buat masa ini kata beliau, tugas wakil rakyat terbabit akan diambil alih Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Melaka, Tey Kok Kiew manakala bagi jawatan pegawai eksekutif akan ditetapkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Hasim Hasan kelak.

Exco terbabit, G Saminathan yang bertanggungjawab kepada portfolio sumber manusia ditahan Khamis lalu. Beliau juga Adun kawasan Gadek.

Saminathan merupakan antara dua Adun DAP ditahan polis bagi membantu siasatan kes di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Semalam, Pengerusi DAP Negeri Sembilan Anthony Loke Siew Fook berkata ahli Parlimen Rasah Cha Kee Chin akan memantau segala gerak kerja khidmat bakti kepada masyarakat bagi kawasan DUN Seremban Jaya ekoran ketiadaan wakil rakyatnya P Gunasekaran yang kini ditahan polis.

Beliau berkata ini bagi memastikan tiada rakyat yang terpinggir daripada mendapatkan bantuan dan khidmat.

Mengulas lanjut, Adly memberitahu kerajaan negeri Melaka akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis untuk menyiasat dakwaan tiga individu di Melaka disyaki terlibat dalam mempromosi, menyokong, memiliki bahan dan menyalurkan dana membabitkan LTTE.

Menurut beliau pihaknya mahu siasatan dijalankan dengan telus dan sekiranya mereka didapati bersalah tindakan mengikut undang-undang sedia ada perlu diambil.

“Kita sedia berikan kerjasama kepada pihak keselamatan dan kita berharap agar siasatan yang lengkap dapat dilaksanakan, sekiranya mereka terlibat mereka harus didakwa, namun jika mereka tidak bersalah, mereka harus dibebaskan,” kata beliau, lapor Bernama.

Tiga daripada 12 individu iaitu seorang Adun, pegawai eksekutif sebuah perbadanan dan ahli majlis perbandaran masing-masing ditahan, atas dakwaan terlibat dengan kumpulan LTTE.