1MDB: Hakim tegur Najib kerana tak hadir perbicaraan tengah hari
Perbicaraan ditangguhkan kerana bekas perdana menteri dijangka menyampaikan ucapan di Dewan Rakyat petang tadi.
KUALA LUMPUR: Najib Razak ditegur oleh Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah hari ini kerana tidak hadir pada perbicaraan kes 1MDB pada sebelah tengah hari, yang menyebabkan hakim berkata harap “ini kali terakhir keadaan ini berlaku”.
Perbicaraan hari ini ditangguhkan kerana bekas perdana menteri itu dijangka menyampaikan ucapan berhubung Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat petang tadi.
Ini dimaklumkan peguambela Muhammad Shafee Abdullah kepada hakim apabila prosiding sebelah tengah hari bermula bahawa anak guamnya tidak dapat hadir disebabkan keadaan yang tidak dapat dielakkan.
“Semasa slot untuk Barisan Nasional pagi ini, slot anak guam saya sebagai ahli Parlimen Pekan telah beralih kepada Anwar Ibrahim. Beliau menimbulkan isu yang sangat kritikal di Parlimen hari ini, dan ucapan itu telah disediakan sejak dua minggu lepas.
“Anak guam saya berbanyak-banyak memohon maaf kepada Yang Arif kerana tidak dapat hadir disebabkan keadaan yang tidak dapat dielakkan. Jika dia tidak dapat berucap, anak guam saya akan dikenakan tindakan untuk tempoh dua bulan akan datang,” kata Shafee.
Timbalan Pendakwa Raya Kanan Gopal Sri Ram berkata, walaupun pihak pendakwaan menghargai tugas Najib sebagai ahli Parlimen, ia tidak berpuas hati dengan situasi dan membangkitkan isu slot Dewan Rakyat bukan alasan yang munasabah.
“Kami ada saksi lain yang sedang bersiap sedia kerana kami tidak tahu bila pemeriksaan balas akan selesai. Mereka telah meletakkan kami dalam keadaan yang sukar.
“Najib boleh memaklumkan kepada speaker (Dewan Rakyat) bahawa dia harus hadir perbicaraan di mahkamah.
“Oleh itu ketidakhadirannya tidak boleh dimaafkan. Kami akan lebih senang jika ini kali terakhir keadaan seperti ini berlaku,” kata Sri Ram.
Hakim kemudian mengingatkan peguam itu prosiding sepatutnya bermula pada 2.30 petang hari ini kerana Najib hanya akan berada di Parlimen pada sebelah pagi.
Shafee memberitahu Najib secara berterusan memberitahu dia perlu hadir perbicaraan pada 2.30 petang.
“Malah dia menghadapi masalah kerana mendesak kerani speaker bahawa dia perlu hadir perbicaraan pada 2.30 petang. Semua media menyiarkan berita bahawa prosiding akan disambung semula 2.30 petang,” katanya.
Shafee menegaskan anak guamnya bertanggungjawab kepada tugas sebagai ahli Parlimen.
“Sekali-sekala anak guam saya perlu berucap. Ini masa yang dia mohon dan dia telah diberi slot,” kata Shafee.
Hakim kemudian mempersoalkan peguam itu jika beliau dapat memastikan keadaan sedemikian tidak akan berlaku lagi dan Shafee menjawab perbicaraan tidak selalu ditangguhkan setakat ini.
“Saya sepatutnya menjalani pembedahan mata. Mengapa? Disebabkan perbicaraan ini, saya menangguhkannya supaya saya dapat meneruskan kes ini. Apabila anak guam saya menghidap konjunktivitis, kita tidak mempunyai pilihan selain menangguhkan,” katanya.
Hakim lalu menjawab bahawa pastikan ini kali terakhir situasi seperti ini berlaku dan kemudian menangguhkan prosiding sehingga esok pada 9.30 pagi.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan juga menghadapi 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.