Kais Saied terima 72.7% undi, diisytihar presiden baru Tunisia

Calon bebas Kais Saied diisytihar sebagai pemenang pilihan raya presiden Tunisia, menggantikan Beji Caid Essebsi, yang meninggal dunia Julai lepas. (Gambar AFP)

TUNIS: Calon bebas Kais Saied diisytihar sebagai pemenang pilihan raya presiden Tunisia, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan suruhanjaya pilihan raya negara Tunisia.

Nabil Baffoun, ketua Suruhanjaya Pilihan Raya Tinggi Bebas, mengumumkan keputusan rasmi pengundian yang berlangsung pada Ahad dalam satu sidang akhbar di ibu kota Tunis.

Baffoun berkata sejumlah 56.8% pengundi domestik dan 24.4% pengundi yang menetap di luar negara mengambil bahagian dalam pusingan kedua pilihan raya itu dan Saied meraih 72.71% undi.

Saingan Saied, taikun media Nabil Karoui yang juga calon Parti Qalb Tounes atau Heart of Tunisia, memperoleh 27.29% undi.

Rakyat Tunisia keluar mengundi pada Ahad dalam pusingan kedua pilihan raya presiden susulan kebangkitan yang berlaku di negara itu pada 2011.

Lebih tujuh juta rakyat Tunisia layak mengundi, menurut suruhanjaya pilihan raya negara itu.
Saied akan menggantikan Beji Caid Essebsi, presiden pertama Tunisia yang dipilih secara bebas, yang meninggal dunia pada Julai lepas.