Kesatuan Ulama Islam Sedunia bukan pertubuhan pengganas, kata Hadi
Ia selepas pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, empat negara Arab memasukkan Kesatuan Ulama Islam Sedunia dalam senarai pengganas.
KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berkata, Kesatuan Ulama Islam Sedunia (KUIS) yang pernah dianggotainya ialah pertubuhan sah yang mempunyai cawangan di seluruh dunia, walaupun ia dimasukkan dalam senarai pengganas oleh empat negara Arab.
Beliau membidas pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang kerana membangkitkan KUIS dan jawatan yang pernah dipegangnya ketika membahaskan isu berkaitan kumpulan pengganas di Dewan Rakyat semalam.
Ahli Parlimen Marang itu berkata, Lim sepatutnya menyemak fakta terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan mengenai KUIS.
“Dia tak tahu, dia tak ada ilmu pengetahuan.
“Ia adalah pertubuhan yang bersifat akademik, bukannya persenjataan,” katanya di lobi Parlimen hari ini.
Pada 6 Disember tahun lalu, Hadi dilaporkan tidak mempertahankan jawatannya dalam KUIS atas faktor kesihatan.
Semalam, Lim dilaporkan berkata, “seorang pemimpin pembangkang Malaysia” menjadi naib presiden KUIS yang dimasukkan dalam senarai pengganas oleh empat negara Arab – Mesir, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu dan Bahrin.
Lim berkata demikian ketika mengulas gesaan PAS untuk kerajaan membentangkan kertas putih mengenai kumpulan pemisah, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di Malaysia, susulan penahanan 12 individu minggu lalu.
Dua Adun DAP dari Melaka dan Negeri Sembilan, G Saminathan dan P Gunasekaran antara 12 individu ditahan minggu lalu kerana disyaki mempunyai kaitan dengan LTTE.
LTTE yang sudah terkubur di Sri Lanka, disenaraikan sebagai kumpulan pengganas di Malaysia sejak 2014.
Ahad lalu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata, transaksi kewangan dalam jumlah besar dikesan dalam akaun individu yang ditahan minggu lalu, dipercayai untuk mengaktifkan semula LTTE di negara ini.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Transaksi kewangan ini dipercayai untuk membiayai aktiviti mempromosi, merekrut serta menggerakkan program LTTE di negara ini,” katanya pada Ahad lalu.