
KOTA BHARU: Kelantan hanya menerima wang ehsan pada 17 Sept lepas daripada kerajaan persekutuan dan bukannya royalti, kata Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob.
Beliau berkata, kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semalam mengenai pemberian royalti kepada Kelantan mengelirukan.
“Kenyataan itu kenyataan yang tidak benar dan mengelirukan rakyat. Yang dituntut oleh kerajaan negeri adalah royalti minyak dan wang gas. Yang diberi atau disalurkan adalah wang ehsan.
“Maksud menteri kewangan telah membuat bayaran pendahuluan (termasuk untuk tahun depan) adalah wang ehsan, bukan royalti minyak.
“Bezanya terlampau jauh dan kita memang telah terima wang ehsan pada 17 Sept sebanyak RM15,749,561.50,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Wan Hassan Wan Ibrahim (PAS-Semerak) yang mahu tahu apakah benar kerajaan persekutuan sudah membayar royalti minyak, termasuk bayaran pendahuluan kepada Kelantan.
Terdahulu, Hassan bertanyakan perancangan kerajaan negeri untuk meneroka punca hasil baru berasaskan sumber mineral seperti disebut dalam sidang lalu.
Menjawab soalan tambahan Hilmi Abdullah (PAS-Guchil) mengenai anggaran semasa royalti yang perlu dibayar kepada Kelantan dan tunggakannya, Ahmad berkata, ia bergantung kepada hasil tahunan yang diperolehinya.
“Sebagai contoh, pada 2017, royalti yang sepatutnya diperoleh Kelantan sebanyak RM1.03 bilion. Ini sumber yang kita dapat melalui Unit Perancangan Ekonomi Negeri. Untuk jumlah keseluruhan, saya perlukan notis.”
Semalam, Lim dilaporkan berkata, royalti minyak sudah dibayar bulan lalu atas arahan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.