Kelayakan Piala Dunia: Vietnam kekal momentum, benam Garuda di Bali
Vietnam mengekalkan rekod cemerlang selepas ikat Thailand dalam pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
PETALING JAYA: Vietnam berkongsi mata dengan Thailand yang berada di kedudukan teratas Kumpulan G, pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, selepas menewaskan Indonesia 3-1 di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Gianyar, Bali.
Perlawanan yang pada mulanya dijadualkan berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta itu terpaksa dipindahkan ke Bali disebabkan faktor keselamatan.
Bagi Vietnam kemenangan ini mengekalkan rekod cemerlang mereka dalam kempen kelayakan kali ini.
Selepas mengikat Thailand pada awal Sept lalu, skuad kendalian Parh Hang-seo menewaskan Malaysia 1-0 di Hanoi untuk mengumpul keseluruhan tujuh mata setakat ini.
Bagi Indonesia, ini adalah kekalahan keempat berturut-turut.
Berdasarkan statistik di laman rasmi FAM, Selepas tewas 3-2 kepada kepada skuad bimbingan Tan Cheng Hoe, Sang Garuda ditewaskan Thailand 3-0 di gelanggang sendiri, sebelum terus layu dibelasah UAE 5-0 di Abu Dhabi.
Berada di kedudukan tercorot, Indonesia kekal sebagai satu-satunya pasukan tanpa sebarang mata dalam Kumpulan G.
Thailand tewaskan UAE
Di Stadium Thammasat, Pathum Thani, menjadi saksi kemenangan berharga Thailand ke atas UAE dalam aksi Kumpulan G, seterusnya mengambil alih takhta kumpulan.
Thailand bagaimanapun sekadar menang tipis 2-1 ke atas UAE.
Pemain sayap berusia 19 tahun, Ekanit Panya yang menjaringkan gol pertama, muncul wira buat Gajah Perang apabila jaringannya di minit ke-51 memberikan tiga mata penuh buat tuan rumah dan kekalahan pertama buat UAE.
Ini merupakan kemenangan kedua berturut-turut buat Thailand.
Thailand membuka jaringan pada minit ke-26 menerusi penyerang veteran, Teerasil Dangda yang menanduk deras hantaran kemas Ekanit Panya menewaskan Khalid Essa untuk gol pembukaan.
Teerasil Dangda yang membuat kemunculan ke-103 bersama Thailand berjaya menghasilkan jaringan ke-46 peribadinya dalam perlawanan yang dijangkakan sukar buat mereka ini.
Namun, UAE yang dilihat lebih bergelut berbanding tuan rumah biarpun pemain licik, Omar Abdulrahman diberikan tugas sebagai kapten.
Sebelum itu, pemain tengah, Sarach Yooyen membuat percubaan jarak jauh untuk menguji penjaga gol UAE namun tendangan deras itu berjaya ditepis penjaga gol berpengalaman The Whites itu.
Thailand lebih banyak menghasilkan percubaan apabila benteng lawan tampak gugup membendung setiap asakan yang diterima.
Selepas jaringan pertama tersebut, Gajah Perang hadir memberi amaran lagi apabila dua kali menggegar palang gol pelawat.
Omar Abdulrahman gagal menghadirkan sentuhan magisnya apabila kerap kali hantarannya lolos kepada jentera serangan yang berjaya dikekang dan paling hampir menerusi sepakan percumanya yang sekadar melewati palang di minit ke-35.
Akhirnya, di masa kecederaan babak pertama, penjaring terbanyak UAE, Ali Mabkhout berjaya menanduk masuk jaringan penyamaan hasil hantaran lintang Al-Hassan Salleh dari sebelah sayap kiri yang juga dianggap jaringan ke-6 peribadinya di pusingan kelayakan kali ini.
Jaringan tersebut memberikan kelegaan sementara buat Bert van Marwijk dan anak buahnya sebelum babak pertama berakhir.
Di awal babak kedua, mereka kembali diasak Gajah Perang dan benteng mereka kali ini dilihat lebih tersusun menyerap asakan.
Bagaimanapun, sedikit kelalaian di benteng menyaksikan pemain sayap, Ekanit Panya berjaya menyelinap dan meledak gol kedua dan kemenangan buat tuan rumah pada minit ke-51 selepas menerima hantaran lintang daripada Nitipong Selanon – gol pertamanya dalam penampilan keempat bersama Thailand.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
UAE cuba bangkit memburu jaringan penyamaan namun semua yang disusun tidak menjadi apabila Thailand terus menguasai perlawanan dan menamatkan perlawanan dengan kemenangan berharga.