Polis: 12 ditahan berkait LTTE kerana siasatan berterusan kes terpencil pada 2016

Salah seorang individu yang ditahan polis pada minggu lalu kerana disyaki ada kaitan dengan LTTE.

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin berkata, siasatan berterusan ke atas satu kes terpencil pada tiga tahun lalu membawa kepada penahanan 12 individu yang disyaki cuba menghidupkan semula kumpulan pengganas, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di Malaysia baru-baru ini.

Katanya, bukti baru timbul susulan penelitian maklumat daripada sumber luar dalam jangka panjang dan pemantauan berterusan Cawangan Khas ke atas satu kes pada 2016.

“Apa-apa pun, kita serahkan kepada pihak polis, mahkamah dan timbalan pendakwa raya.

“Kalau dia (suspek) akan didakwa dan kita akan tahu apa keputusannya nanti,” katanya di ibu pejabat Jabatan Pendaftaran Negara di sini, hari ini.

Beliau merujuk penahanan dua lelaki dalam kes mencederakan pesuruhjaya tinggi Sri Lanka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 2016.

Timbalan Menteri Dalam Negeri ketika itu, Nur Jazlan Mohamed dilaporkan berkata, serangan itu ialah kes terpencil dan tiada kaitan dengan LTTE.

Bagaimanapun, minggu lalu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata, kedua-dua suspek itu terbabit dengan LTTE.

Salah seorang suspek ialah peniaga barang lusuh yang merupakan penganjur Hari Perwira LTTE di Kuala Lumpur setiap Nov.

Suspek kedua ialah seorang pemandu teksi dari Sungai Siput, Perak dan siasatan polis mendapati suspek pernah menyertai pertemuan sulit di kawasan itu bagi merekrut dan menyebarkan propaganda LTTE di negara ini.

Bagaimanapun, minggu lalu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata, dua daripada 12 individu yang ditahan baru-baru ini kerana disyaki ada kaitan dengan LTTE, pernah didenda RM10,000 atas kesalahan menyerang pesuruhjaya tinggi Sri Lanka di KLIA pada Sept 2016.

Mereka adalah peniaga barang lusuh berusia 28 tahun yang merupakan penganjur Hari Perwira LTTE di Kuala Lumpur setiap Nov dan pemandu teksi berusia 37 tahun dari Sungai Siput, Perak yang pernah menyertai pertemuan sulit di Sungai Siput bagi merekrut dan menyebarkan propaganda LTTE di negara ini.

Turut ditahan minggu lalu ialah dua Adun DAP dari Melaka dan Negeri Sembilan, G Saminathan serta P Gunasekaran di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) kerana disyaki mempunyai kaitan dengan LTTE.

Kumpulan LTTE disenaraikan sebagai kumpulan pengganas di Malaysia sejak 2014.

Kehilangan Amri Che Mat, Pastor Raymond Koh

Muhyiddin berkata, beliau masih menunggu maklumat terkini daripada pasukan petugas khas yang mengendali siasatan ke atas kehilangan Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh.

“Kita bagi enam bulan dari tarikh lantikan, jadi sementara ini belum ada laporan balik kepada kita, kita tunggulah.”

Pada 3 April lalu, inkuiri Suhakam ke atas kehilangan Koh dan Amri menyimpulkan 2 lelaki itu ialah mangsa kehilangan paksa membabitkan anggota polis Cawangan Khas.

Susulan itu, Kabinet pada 23 Mei lalu mengumumkan penubuhan pasukan petugas khas untuk meneliti laporan Suhakam dan mengesyorkan tindakan yang perlu diambil kerajaan atau pihak bertanggungjawab dalam kes itu.

Koh, 64, dilaporkan diculik sekumpulan lelaki bertopeng di Kelana Jaya pada 13 Februari 2017, sementara Amri, 44, pengasas persatuan kebajikan Perlis Hope hilang sejak 24 November 2016.