Zakir Naik saman, tuntut Ramasamy mohon maaf
Pendakwah dari India itu berkata, artikel pemimpin DAP itu cuba menggambarkan beliau ialah watak jahat dan ancaman kepada keselamatan serta keharmonian Malaysia.
PETALING JAYA: Pendakwah dari India, Dr Zakir Naik memfailkan saman fitnah di Mahkamah Tinggi di sini terhadap Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy atas empat artikel membabitkannya.
Beliau memohon injunksi bagi menghalang pemimpin DAP itu menyiarkan dan mengedarkan laporan itu dalam sebarang medium.
Naik turut menuntut permohonan maaf daripada Ramasamy yang disiarkan di akhbar terpilih dan portal berita, termasuk FMT dalam tempoh tujuh hari selepas defendan menerima writ serta pernyataan tuntutan.
Dalam pernyataan tuntutan yang dilihat FMT, Naik menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan.
Naik mendakwa Ramasamy mengejek dan menggambarkan beliau sebagai watak jahat, ancaman kepada keselamatan serta keharmonian Malaysia.
Katanya, Ramasamy menggelarnya “syaitan” dalam catatan Facebook dua tahun lalu dan menulis satu artikel fitnah bertajuk “Is Malaysia harbouring alleged fugitive Zakir Naik?” di FMT pada 2017.
Beliau berkata, Ramasamy turut memutar belit ceramahnya di Kota Bharu, Kelantan pada 11 Ogos lalu dengan mendakwanya mempersoalkan kesetiaan penganut Hindu di Malaysia.
Beliau turut merujuk wawancara Ramasamy dengan India Today pada 20 Ogos lalu yang didakwa cubaan untuk menyebarkan kebencian terhadapnya di seluruh dunia.
Naik dalam pernyataan tuntutannya menyifatkan dirinya sebagai pendakwah terkenal dan penceramah mengenai perbandingan agama, serta beliau menerima pelbagai anugerah termasuk Anugerah Tokoh Maal Hijrah kategori antarbangsa pada 2013.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Difahamkan, Naik turut menghantar pernyataan tuntutan itu kepada Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, Adun Bagan Dalam, Satees Muniandy dan bekas duta, Dennis Ignatius, mendakwa mereka memfitnahnya.