Kerajaan tanpa DAP, Amanah sukar dilaksana, kata penganalisis

Penganalisis berkata, spekulasi meluas mengenai peralihan kerajaan tanpa melibatkan DAP dan Amanah akan memimbulkan krisis kepercayaan dalam kalangan pemimpin PH.

PETALING JAYA: Penganalisis tidak yakin spekulasi peralihan kerajaan yang didakwa diusahakan ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein dan beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) akan berjaya, sebaliknya melihat kemungkinan itu hampir mustahil berlaku.

Kamarul Zaman Yusoff, dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, Hishammuddin pada ketika ini dilihat sukar untuk mempengaruhi keputusan ahli Parlimen lain memandangkan beliau tidak memegang sebarang jawatan rasmi dalam parti.

“Jika ia benar-benar wujud, ia akan menemui jalan sukar kerana Hishammuddin sendiri tidak mempunyai kedudukan rasmi dalam Umno dan juga Barisan Nasional (BN). Lebih meyakinkan sekiranya individu yang mahu menggerakkan inisiatif ini merupakan presiden atau timbalan presiden sesebuah parti.

“Ia sukar berjaya kerana dilakukan tanpa saluran betul. Sudah pasti akan wujud pelbagai halangan memandangkan pihak yang tidak dilibatkan dalam gerakan ini juga ramai. Bukan sahaja pemimpin Amanah dan DAP, tetapi pemimpin dari kumpulan Anwar Ibrahim juga tidak dilibatkan.

“Hishammuddin dikatakan mendapat sokongan daripada sekumpulan pemimpin Umno, namun secara realistiknya sejauh manakah perkara ini boleh dilaksanakan? Itu yang menimbulkan tanda tanya,” katanya kepada FMT.

Majlis Setiausaha PH menggesa Hishammuddin menghentikan kempen yang cuba mengetengahkan idea kerajaan tanpa DAP dan Amanah.

Ketua Setiausaha PH, Saifuddin Abdullah berkata, kecenderungan kepada politik dan pentadbiran berasaskan kaum adalah “politik usang” yang bercanggah sama sekali dengan politik inklusif dipelopori gabungan kerajaan itu.

Gesaan bertulis itu ditandatangani empat setiausaha agung komponen PH, iaitu Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail, Marzuki Yahya (PPBM), Anuar Tahir (Amanah) dan Anthony Loke Siew Fook, yang merupakan setiausaha organisasai DAP.

Kenyataan tanpa diduga oleh mana-mana pihak itu menimbulkan spekulasi mengaitkan usaha berkenaan sememangnya wujud dan terancang, dan didakwa membabitkan Hishammuddin serta beberapa pemimpin PH lain.

Bagaimanapun sebelum spekulasi itu tersebar, Hishammuddin dan Azmin Ali, pemimpin yang dikatakan tidak berada dalam kem Presiden PKR Anwar Ibrahim, terlibat dalam kongres kontroversi dihadiri Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, iaitu Kongres Maruah Melayu di Shah Alam baru-baru ini.

Kamarul berkata, walaupun sukar dilaksanakan, namun spekulasi itu boleh menyumbang kepada keretakan dan menimbulkan syak wasangka dalam kalangan pemimpin PH.

“Mereka yang terlibat dari PH pula dikatakan bertaraf menteri seperti Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali dan Menteri Pembanguan Usahawan, Mohd Redzuan Md Yusof. Jadi ini memberi gambaran yang tidak sihat kepada pentadbiran PH,” katanya.

Kesan buruk

Tambah Kamarul, adalah lebih baik sekiranya gerakan secara senyap itu tidak dilaksanakan kerana ia akan memberi banyak kesan buruk, khususnya dari aspek ekonomi dan keyakinan pelabur kepada negara.

Perkara itu turut diersetujui penganalisis politik dari universiti sama, Mohd Azizuddin Mohd Sani yang menyarankan kepada pemimpin yang dikatakan terlibat supaya menunggu sehingga mandat pentadbiran PH mentadbir tamat, bukan bertindak sebaliknya.

“Dalam demokrasi kemungkinan ia berlaku memang ada, tetapi sama ada ia boleh dilaksanakan atau tidak ternyata agak sukar. Imej sesebuah kerajaan yang terbentuk hasil daripada krisis yang sedemikian nampak tidak baik.

“Ia merupakan perancangan pembangkang yang mahu menguji kekuatan PH. Bagaimanapun eloklah tunggu sehingga pilihan raya umum akan datang daripada menukar kerajaan di tengah jalan, ia tidak sihat,” katanya.

Beliau berkata, pemimpin DAP dan Amanah tidak perlu bimbang dengan spekulasi yang meliar itu, namun tidak menafikan pemimpin dua parti itu akan tertanya-tanya mengenainya.

Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pula berkata, walaupun isu itu hanyalah spekulasi, namun beliau tertarik dengan penafian bersahaja Hishammuddin, yang menurutnya seolah-olah melepaskan batuk di tangga.

“Jika gerakan ini tidak wujud, maka agak pasti Hishammuddin sebagai pemimpin pembangkang berjaya memainkan peranan yang berkesan dalam strategi gerak saraf politik. Begitu juga dengan Dr Mahathir Mohamad yang tidak membuat kenyataan tegas menafikan perkara itu.

“Kesemua spekulasi ini bagaimanapun hanya akan memberi keuntungan kepada pembangkang dan memudaratkan PH. Jika ditinjau setakat ini, ia secara tidak langsung menimbulkan krisis kepercayaan dalam kalangan pemimpin PH,” katanya.