Guan Eng saman RPK berhubung dakwaan rasuah projek terowong dasar laut
Menurut laporan media, saman terhadap Raja Petra difailkan bulan lepas dan pengurusan kes ditetapkan pada 7 Nov ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
PETALING JAYA: Bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng memfailkan saman terhadap penulis blog Raja Petra Kamaruddin kerana memfitnah berhubung dakwaan rasuah dalam projek pembinaan terowong dasar laut oleh kerajaan negeri berkenaan.
Lim menuntut ganti rugi, permohonan maaf di muka hadapan dan injunksi bagi menghalang Raja Petra daripada mengulangi dakwaan itu yang terkandung dalam satu siri artikel bertajuk “From the MACC Files” yang diterbitkan pada Feb dan Mac.
Artikel tersebut yang disiarkan dalam laman web Malaysia Today mengandungi imej, yang menurut Raja Petra, merupakan dokumen daripada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas projek bernilai RM6 bilion untuk membina sebuah terowong dasar laut antara bahagian pulau Pulau Pinang dengan tanah besar.
Raja Petra, yang turut dikenali dengan singkatan RPK, mendakwa wujud “kolaborasi jenayah” antara Jabatan Peguam Negara, SPRM dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) bagi menyembunyikan rasuah membabitkan projek pembinaan terowong dasar laut Pulau Pinang.
Beliau juga mendakwa suapan dibayar kepada Lim dan pemimpin PH.
Antara nama yang disebut dalam artikel berkenaan ialah pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad; Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Peguam Negara Tommy Thomas; bekas menteri pelancongan dan kebudayaan Nazri Abdul Aziz, dan pengerusi serta pengarah urusan Consortium Zenith Constructins Sdn Bhd Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.
Lim kini merupakan menteri kewangan kerajaan persekutuan.
Menurut laporan Malaysiakini, saman terhadap Raja Petra difailkan bulan lepas dan pengurusan kes ditetapkan pada 7 Nov ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Dalam pernyataan tuntutan yang dipetik Malaysiakini, Lim menuntut ganti rugi teladan atas hujahan bahawa Raja Petra “mendapat keuntungan daripada jumlah pembaca artikel terbabit yang ramai” dan keuntungan itu mungkin lebih banyak daripada “jumlah ganti rugi” yang mungkin dianugerahkan kepadanya.
Lim juga menuntut perintah untuk memaksa Raja Petra menerbitkan satu permohonan maaf tanpa syarat di muka depan akhbar The Star, New Straits Times, Berita Harian dan Sin Chew Daily.
Beliau juga menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan.
Pernyataan tuntutan itu mendakwa Raja Petra “bersungguh-sungguh dalam kempen pembohongan dan pembunuhan karakter” terhadap Lim.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“10 artikel itu mendapat publisiti dan liputan meluas sehingga ke peringkat menjadi subjek perbincangan di ruang awam, dan kenyataan itu dibaca oleh ramai orang yang boleh mengakses dan membaca Malaysia Today,” kata kenyataan itu lagi.