Najib rancang lencong RM42 juta daripada dana pesara, kata pendakwaan

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan dalam perbicaraan rasuah dan salah guna kuasa Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini penyaluran RM42 juta dana awam daripada SRC International dilakukan dengan arahan dan pengetahuan bekas perdana menteri.

“Pecah amanah jenayah itu dirancang dengan baik dan dirancang terlebih dulu selama beberapa tahun oleh tertuduh, yang memegang jawatan tertinggi dalam kerajaan di negara ini,” kata pendakwa raya ad hoc V Sithambaram dalam hujahannya di penghujung kes pihak pendakwaan.

Beliau menambah pihak pembelaan tanpa mengatakannya akui Najib mengambil wang itu apabila mengatakan “RM42 juta daripada RM4 bilion dana pesara adalah sedikit”.

Sithambaram berkata tidak ada keraguan lagi bahawa Najib, sebagai seorang penjawat awam, melakukan kesalahan itu kerana dia diamanahkan dengan wang itu dan menggunakannya untuk keuntungan peribadi.

Beliau berkata keterangan menunjukkan suatu proses berlapis, dengan wang dimasukkan ke akaun bank peribadi Najib dan kemudian dikleuarkan, antaranya menerusi pengeluaran cek.

Sithambaram, seorang peguam yang diberi lesen khas untuk membuat pendakwaan dalam kes itu, juga mengkritik pendirian pihak pembelaan bahawa RM42 juta itu sumbangan daripada Arab.

“Wang Arab semua sudah digunakan, dengan hanya baki sebanyak RM763 dalam salah satu akaunnya setakat 9 Sept 2014,” katanya.

Beliau berkata ini ditunjukkan menerusi keterangan saksi R Uma Devi, pengurus AmBank cawangan Jalan Raya Chulan, dan Joanna Yu Ging Ping, bekas pengurus perhubungan di bank yang sama.

Beliau berkata seorang lagi saksi, peguam Ranjit Singh, memberi keterangan bahawa Najib akui dalam satu saman fitnah bahawa RM42 juta daripada SRC International masuk ke dalam akaun bank peribadinya.

Ranjit, yang mewakili bekas menteri pengangkutan Ling Liong Sik dalam saman itu berkata, Najib membuat pengakuan itu dalam satu afidavit bagi menjawab pembelaan yang dikemukakan anak guamnya.

Sithambaram berkata pihak pembelaan juga menegaskan ahli perniagaan yang dikehendaki Low Taek Jho, ketua pegawai eksekutif SRC International ketika itu Nik Faisal Ariff Kamil dan lain-lain memanipulasikan akaun AmBank Najib tanpa pengetahuannya.

“Bagaimanapun, Yu memberitahu mahkamah semua cek untuk mengeluarkan wang mesti ada tandatangan Najib,” katanya.

Beliau menambah tiada aduan penyimpanan atau pengeluaran dana yang salah dalam akaun-akaun Najib kepada bank.

“Tertuduh tahu semua transaksi itu, dan dia senyap. Bagaimanapun, ia jadi isu selepas dia didakwa,” katanya.

Sithambaram juga berkata RM42 juta itu daripada SRC International dan melalui Gandingan Menari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd sebelum akaun Najib.

“Najib hanya nampak terkejut apabila diberitahu oleh Pengarah Urusan Ihsan Perdana Shamsul Anwar Sulaiman bahawa seseorang telah memindahkan wang ke akaun peribadinya,” katanya.

Sebagai seorang perdana menteri, tambahnya, Najib harus membuat laporan polis selepas mendapat tahu sejumlah wang yang besar disalurkan ke akaunnya.

“Beliau juga tidak membuat sebarang tindakan sivil terhadap bank atas kehilangan reputasi kerana salah guna akaun-akaun banknya,” katanya.

Sithambaram juga berkata tindakan Najib membelanjakan wang menerusi kad kredit atas pembelian di luar negara mendedahkan beliau tahu tentang jenayah itu.

Beliau berkata Najib patut membela diri kerana pihak pendakwaan sudah membuktikan kesnya mengenai penilaian maksimum keterangan-keterangan yang dikemukakan, melalui bukti langsung, ikut keadaan dan dokumentari.

Peguam Harvinderjit Singh sebelum itu berhujah pihak pendakwaan belum membuat satu kes salah guna kuasa dan pecah amanah jenayah yang prima facie.

“Tuduhan pengubahan wang tergugur apabila tuduhan utama tidak terbukti,” katanya.

Peguam Negara Tommy Thomas akan meneruskan penghujahan pendakwaan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang berkaitan RM42 juta yang dikatakan dana SRC International.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamik Bank Bhd di Jalan Raja Chulan dan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya antara 17 Ogos 2011 dan 10 Februari 2015.