Tuduh Amanah diperkuda DAP propaganda murahan, Salahuddin beritahu Asri

Salahuddin Ayub berkata, beliau menyokong sebarang tindakan undang-undang terhadap individu terbukti ada kaitan dengan LTTE dan isu pengedaran komik mengenai OBOR di sekolah.

KUALA LUMPUR: Amanah memberi jaminan akan terus mempertahankan kemuliaan agama Islam dan kedudukan bangsa Melayu, selepas ia didakwa setia kepada DAP serta berdiam diri dalam isu berkaitan masyarakat Islam.

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub menyifatkan tuduhan terhadap Amanah diperkudakan DAP ialah propaganda murahan yang dikitar semula kerana dakwaan sama pernah dibuat ketika beliau bersama PAS.

“Waktu kita dalam PAS bersama dengan DAP, itulah juga lagunya, bahawa PAS dikudakan DAP. Saya juga ada di situ dan apabila kami bersama DAP hari ini, itu juga lagunya.

“Isu ini adalah isu yang diulang-ulang, (Mufti Perlis) Mohd Asri Zainul Abidin kena ingat, semasa saya dalam PAS, itulah isu yang dimainkan, bagi saya itu adalah isu yang sentiasa dimainkan dan Amanah tidak pedulikan isu berkenaan.

“Bagi kita yang penting adalah dengan kuasa yang kita ada, kita dapat mengekalkan kedudukan Islam dan Melayu seperti terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Terdahulu, Asri dilaporkan mengkritik hubungan Amanah dengan DAP dengan mendakwa parti serpihan PAS itu dilihat mengikut pendirian DAP dalam pelbagai isu.

Asri merujuk kontroversi berhubung pengedaran sebuah komik mengenai inisiatif Satu Jalur Satu Jalan (OBOR) di sekolah di Pulau Pinang yang dikatakan berunsur propaganda dan penahanan 12 individu didakwa ada kaitan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Beliau mendakwa Amanah tidak mengulas dua isu itu.

Hari ini, Salahuddin berkata, pendirian Amanah tegas berhubung isu LTTE dan komik OBOR.

Katanya, beliau menyokong sebarang tindakan undang-undang jika terbukti wujud salah laku dalam isu berkenaan.

“Kita tegas tentang LTTE. Kita tidak kompromi dengan keganasan. Itu tuduhan tidak berasas, manakala tentang komik pula, biarlah undang-undang mengambil tempat, sekiranya ada kesalahan.”