Asri harus berhenti jadi mufti jika mahu berpolitik, kata Khalid Samad
Khalid Samad berkata jangan terkejut jika Asri bakal menjadi calon ‘geng Melayu’ pada pilihan raya umum ke-15.
PETALING JAYA: Mohd Asri Zainul Abidin disaran berhenti daripada menjadi mufti jika mahu berpolitik, kata Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad selepas dikritik hubungan parti itu dengan DAP.
“Seharusnya berhenti dari menjadi mufti kalau nak berpolitik.
“Dahlah tu, analisis politiknya agak lemah,” katanya di Twitter sambil merujuk kenyataan mufti Perlis itu, semalam.
Asri mengkritik hubungan Amanah dengan DAP, mengatakan parti serpihan PAS itu begitu setia dengan rakannya dalam Pakatan Harapan (PH).
Dalam satu wawancara dengan pendakwah kontroversi Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu, Asri berkata Amanah dilihat mengikut pendirian DAP dalam pelbagai isu dan berdiam diri daripada mengulas isu yang dikaitkan dengan masyarakat Islam.
Asri juga memetik kontroversi pengedaran komik “Inisiatif Jalur dan Jalan” dan penangkapan individu yang didakwa ada hubungan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), mengatakan tiada apa-apa yang didengar mengenai perkara itu.
Dalam pada itu, Khalid berkata jangan terkejut jika Asri bakal menjadi calon ‘geng Melayu’ pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Hairan dengan kesanggupannya bersama dalam Kongres Maruah Melayu dengan mesej perkaumannya tapi faham apa tujuannya,” katanya.