Kongres Melayu: Zainal Kling disoal polis Jumaat ini
Ketua sekretariat Kongres Maruah Melayu itu dipanggil ke Bukit Aman berhubung ucapannya di majlis itu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed berkata, Zainal dipanggil berikutan laporan polis pegawai khas timbalan ketua menteri Pulau Pinang, baru-baru ini.
Keterangan pengadu telah diambil dan polis juga sudah berhubung dengan Zainal.
“Kita akan semak penganjur kongres ini,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.
Zainal membuka tirai kongres yang berlangsung dengan menyentuh isu berkaitan perlembagaan persekutuan, kedudukan raja-raja dan orang Melayu.
Antara bahagian ucapannya yang menarik perhatian orang ramai apabila beliau dilapor berkata Malaysia negara orang Melayu.
Huzir berkata, polis membuka kertas siasatan mengikut seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Individu hina PH, KPN di luar negara
Sementara itu, Huzir memaklumkan polis memasukkan nama seorang lelaki yang dikenali sebagai “Navin Pillai”, yang didakwa menghina perdana menteri dan ketua polis negara di media sosial, dalam senarai individu dikehendaki.
Polis mengesan individu terbabit di New Zealand.
“Jika dia kembali ke Malaysia atau di negara yang bersama dengan kita, kita akan tangkap dan bawa balik,” katanya.
Suspek ugut Kit Siang ditahan
Sementara itu, polis juga menahan seorang suspek yang dipercayai membuat ugutan bunuh terhadap ahli politik DAP, Lim Kit Siang.
Suspek berusia 50 tahun itu ditahan di Temerloh, Pahang selepas laporan dibuat di Jelapang, Perak.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Katanya, polis mendapat perintah mereman individu terbabit selama tiga hari untuk disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.