Harga baru tanah Kg Baru diumum hari ini, dijangka lebih baik tapi tidak setinggi diharap

Setiausaha kehormat Lembaga Petempatan Kg Baru Shamsuri Suradi berkata, pemilik tanah mahukan pembangunan, bukannya menjual tanah mereka.

PETALING JAYA: Harga baru bagi tanah Kampung Baru di ibu negara, yang akan diumumkan hari ini susulan pertikaian berhubung kadarnya baru-baru ini, dijangka naik sedikit tetapi hanya sekitar RM1,000 sekaki persegi.

Kadar baru dijadual diumumkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad petang ini.

Setiausaha kehormat Lembaga Pentadbir Petempatan Pertanian Melayu Kampung Baru (MAS) Shamsuri Suradi berkata, kerajaan tidak akan membuat tawaran lebih daripada itu.

“Berdasarkan sumber, saya dengar harga akan ditawarkan begitu. Tetapi kalau saya nilai RM4,000 kaki persegi pun, saya tidak kisah.

“Pergilah tanya orang Kampung Baru, tanya mereka siapa yang nak jual. Bukan masalah harga, tetapi kami nak pembangunan,” katanya kepada FMT.

Pada 20 Okt, Khalid berkata, kerajaan akan membuat tawaran baru kepada pemilik tanah Kampung Baru bagi menyelesaikan kemelut pelan pembangunan kampung itu hari ini.

Beliau menjanjikan tawaran baru yang akan diumumkan itu adalah lebih baik daripada sebelum ini dan menggembirakan pemilik susulan perbincangan yang dibuat dengan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, minggu lalu.

Shamsuri Suradi.

Sebelum ini, Khalid mengumumkan tawaran harga RM850 kaki persegi atau RM6 juta bagi lot 8,000 kaki persegi untuk pembangunan semula atas tanah seluas 62 hektar.

Dalam pada itu, Shamsuri berkata, Khalid masih tidak memahami kehendak sebenar penduduk Kampung Baru berhubung tawaran baru yang akan diumumkan itu.

Beliau berkata pemilik mahukan pembangunan, bukan duit.

“Kalau kami jual dan kami tak duduk di Kampung Baru. Mana orang Melayu nak pergi?

“Mereka dapat duit sekarang, kemudian hari mereka merempat. Itu yang kita bimbang,” katanya.

Shamsuri juga berkata, beliau tidak akan menyokong sebarang tawaran baru yang akan diumumkan hari ini.

Beliau mendakwa gesaan untuk berjumpa dengan Khalid bagi membincangkan kehendak sebenar pemilik masih belum tercapai.

“Saya belum jumpa Khalid lagi. Saya tidak akan hadir sebab tak nak jadi orang bodoh untuk sokong dia,” katanya.

Pada 22 April, Khalid dipetik sebagai berkata, kerajaan memerlukan dana RM10 bilion jika berhasrat membeli tanah di Kampung Baru untuk dibangunkan menjadi petempatan moden dan sistematik orang Melayu di tengah ibu kota.

Katanya, dana itu diperlukan untuk membolehkan kementerian membangunkan Kampung Baru secara menyeluruh dan bukan secara berkelompok atau “runcit” oleh pemilik tanah bersama pemaju.