Harga rumah ‘memang di luar kemampuan’ rakyat, kata Bank Negara

KUALA LUMPUR: Rumah di Malaysia disifatkan sebagai “memang di luar kemampuan” mengikut standard antarabangsa, kata seorang pegawai Bank Negara Malaysia.

Pengarah Jabatan Pemantauan dan Pengawasan Kewangan Qaiser Iskandar Anwarudin berkata mengikut metodologi median berganda yang dibangunkan Demographia International dan dicadangkan Bank Dunia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Universiti Harvard, rumah dianggap mampu dibeli jika harganya tidak lebih tiga kali ganda daripada pendapatan tahunan isi rumah.

“Tahap kemampuan menurun dengan median kemampuan berganda (nisbah harga rumah dengan pendapatan tahunan isi rumah) meningkat kepada 4.8 kali pada 2016 daripada 3.9 kali pada 2012,” katanya kepada pemberita pada taklimat hari ini.

Beliau berkata kebanyakan rakyat tidak mampu membeli rumah yang baru dilancarkan pada harga purata RM417,262 manakala harga maksimum rumah mampu milik di seluruh negara pada RM282,000.

Qaiser berkata 73 peratus hartanah tidak terjual adalah di luar kemampuan, dengan Johor mencatatkan angka tertinggi rumah tidak terjual diikuti Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Pulau Pinang.

Bagaimanapun, katanya keadaan pasaran hartanah negara bertambah baik dengan harga rumah menurun pada tahap sederhana.

“Pembahagian dalam pelancaran projek perumahan baru juga menyaksikan peningkatan jumlah rumah mampu milik berbanding masa lepas,” katanya.

Sementara itu, katanya setakat Jun tahun ini, kadar kelulusan pinjaman perumahan sebanyak 74.6 peratus manakala dalam segmen rumah berharga bawah RM300,000, kadar kelulusannya kira-kira 70 peratus.

Beliau berkata hampir separuh daripada pinjaman diluluskan pada tahun ini untuk pembeli rumah pertama.

Qaiser berkata 80 peratus pinjaman perumahan ditolak disebabkan harga rumah lebih daripada tiga kali ganda daripada nisbah pendapatan tahunan pemohon.

Alasan lain pemohon sudah mempunyai banyak hutang, rekod prestasi kewangan yang lemah dan jurang dokumentasi, katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata terdapat pelbagai inisiatif untuk memudahkan pemilikan rumah terutamanya bagi segmen isi rumah B40 dan M40, termasuk skim jaminan seperti Skim Rumah Pertamaku dan Skim Jaminan Kredit Perumahan; bantuan pembayaran balik bulanan seperti Skim Perumahan Belia; dan skim sewa milik yang diumumkan dalam Belanjawan 2020.

Beliau berkata Bank Negara sendiri melancarkan Dana untuk Rumah Mampu Milik pada awal tahun ini dengan peruntukan RM1 bilion selama dua tahun untuk memudahkan pemilikan rumah bagi isi rumah B40.

Dana itu, katanya, membolehkan lebih 1,100 isi rumah memiliki rumah dengan jumlah nilai aset RM180 juta.