Kerajaan ‘pintu belakang’ hanya spekulasi, kata Zahid

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi.

KUALA LUMPUR: Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menegaskan dakwaan mengenai cubaan membentuk kerajaan melalui “pintu belakang” hanya bersifat spekulasi dan tidak menggambarkan realiti kepada amalan demokrasi negara ini.

Beliau berkata Malaysia yang mengamalkan pemerintahan demokrasi sudah tentu menjadikan pilihan raya umum (PRU) sebagai asas utama kepada pembentukan kerajaan, bukannya dengan kaedah berbentuk spekulasi sedemikian.

“Saya tidak fikir spekulasi itu adalah realiti dan jika ada kekhuatiran di pihak gabungan Pakatan Harapan (PH), jangan khuatir, spekulasi itu tidak akan terjadi jika hanya bertepuk sebelah tangan.

“Tanyalah diri mereka sendiri sama ada mereka dapat menerima atau sebaliknya terhadap unjuran yang mereka sebutkan itu,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pertanyaan mengenai cubaan memasukkan 30 ahli Parlimen Umno dalam PPBM yang bertujuan membentuk kerajaan persekutuan tanpa DAP dan Amanah.

Ia susulan PH menuduh Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein sedang menggerakkan cubaan untuk membentuk kerajaan baru melalui pembelotan.

Bagaimanapun, Hishammuddin menafikannya mengatakan dakwaan tersebut hanya menunjukkan gabungan itu berdepan masalah dalaman.

“Ia tidak menjejaskan saya, saya tidak rugi apa-apa. Mereka yang rugi dan ini hanya membuatkan mereka kelihatan lemah, ini menunjukkan mereka kelihatan seolah-olah tidak kukuh,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zahid yang juga pengerusi Barisan Nasional berkata beliau akan mengumumkan calon PRK Tanjung Piai sebelum hari penamaan calon pada 2 November ini.

Jelasnya, pemilihan calon akan diserahkan kepadanya selepas meneliti beberapa perkara dengan parti komponen.

“Terpulang kepada saya. Selepas pertimbangan itu dilakukan dengan cukup teliti dan seimbang antara parti komponen,” katanya.