TAWAU: Kes rasuah atau salah guna kuasa membabitkan sektor pendidikan di Sabah adalah serius, kata Timbalan Pengarah (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, Awang Samsul Baharam Bungso.
Beliau berkata mengikut siasatan pihaknya, kebanyakan yang disiasat adalah melibatkan pelbagai kesalahan termasuk mengemukakan tuntutan palsu, memalsukan dokumen dan pecah amanah.
“Kebanyakan modus operandi mereka adalah sama iaitu dengan memalsukan dokumen tertentu,” katanya kepada pemberita selepas selesai program anjuran SPRM iaitu bual bicara melestarikan integriti dan anti rasuah dalam sektor pendidikan di sini, hari ini.
Menurut Awang Samsul, masalah itu bertambah teruk apabila terdapat pegawai sokongan, misalnya kerani, bersekongkol sehingga timbul rasuah dan salah guna kuasa.
“Ini juga menjadi satu kesalahan kerana bersubahat dengan pihak atasan sekolah,” katanya lagi.