Sindrom defisit patriotisme membimbangkan

Sindrom defisit patriotisme dalam kalangan anggota masyarakat kita semakin membimbangkan. Tingkah laku dan sikap segelintir rakyat yang dengan sengaja “mencari pasal” amat mengecewakan.

Tindakan seperti tidak menghormati lagu Negaraku, Jalur Gemilang, agama dan bahasa rasmi serta institusi diraja sewajarnya dilabel sebagai penderhakaan terhadap negara.

Bukan sekali tapi sudah berkali-kali insiden yang membabitkan perkara tersebut berlaku di negara ini. Lebih mengecewakan ialah ia dilakukan oleh rakyat kita sendiri.

Maka timbul persoalan di manakah semangat patriotisme mereka ini dan apakah nilai patriotisme itu semakin lama semakin luntur dan terhakis dari jiwa masyarakat kita.

Kalau generasi terdahulu sanggup bermati-matian mempertahankan kedaulatan negara ini, generasi hari ini yang hidup senang-lenang dengan menikmati hasil perjuangan orang dulu seolah-olah tidak langsung menghargai segala sumbangan dan pengorbanan tersebut.

Apakah lagi yang boleh kita banggakan jika rakyat sendiri malu dan tidak mahu menghormati lagu Negaraku? Apakah ini yang kita belajar selama ini?

Jelas kita berada pada zaman yang begitu mencabar sehinggakan kita sedang berhadapan dengan segelintir anggota masyarakat yang mengalami masalah defisit patriotisme yang cukup serius.

Kita khuatir jika penyakit ini tidak diubati dengan segera ia boleh merebak umpama virus dan wabak yang sukar dikawal kelak. Jangan terkejut jika pada akhirnya ia akan membawa kepada situasi kedaulatan negara ini akan tergadai sekali lagi.

Bagi sebuah negara yang berdaulat dan bebas merdeka, lagu kebangsaan, bendera, agama, bahasa dan perlembagaan adalah identiti dan simbol kenegaraan utama yang menjadi perisai setiap warga negara bertuah ini.

Inilah bukti kita sudah bebas daripada penjajah dan boleh mengurus negara kita sendiri mengikut keperluan dan acuan kita.

Kita cukup terkesan dengan sikap dan tingkah-laku anggota masyarakat kita seperti ini sehinggakan seringkali tertanya-tanya apakah rakyat kita sudah bosan hidup merdeka?

Apakah kita mahu negara ini dijajah sekali lagi? Tepuk dada tanyalah minda masing-masing.

Apapun ini adalah satu masalah yang cukup serius dan perlu ditangani dengan segera. Antara tindakan segera yang perlu diambil ialah kita mohon pihak berkuasa menyiasat segala tingkah-laku biadab seperti ini dengan terperinci dan menjatuhkan hukuman setimpal.

Kita tidak mahu berkompromi atau bertolak-ansur dalam soal seperti ini. Ini bukan saja membabitkan maruah negara, tetapi sewajarnya dilihat sebagai maruah seluruh rakyat negara ini.

Dalam konteks ini kita juga mendesak pihak kerajaan mengkaji dengan segera nilai hukuman yang sedia ada.
Misalnya mengikut Akta Lagu Kebangsaan 1968, mana-mana individu yang didapati tidak berdiri tegak atau menghormati lagu itu boleh didenda tidak lebih RM100 atau dipenjara sehingga sebulan.

Apakah maruah dan nilai sebuah lagu kebangsaan hanya RM100? Cukup memalukan jika hukuman ini masih dipertahankan.

Justeru kita perlu meminda akta ini dan meletakkan nilai denda yang lebih tinggi serta hukuman penjara lebih lama supaya ia menjadi peringatan dan amaran keras kepada seluruh rakyat negara ini agar jangan sesekali cuba untuk menghina lagu kebangsaan.

Di samping hukuman dan penguatkuasaan, kita juga perlu meneliti secara serius apakah punca sebenar rakyat kita bersikap biadab seperti ini.

Apakah sistem pendidikan yang ada belum mampu menerap dan melahirkan warga yang sayang dan cintakan negara atau institusi keluarga gagal memainkan peranan untuk mendidik anak-anak menyayangi ibu pertiwi.

Kita perlu merungkai misteri ini supaya sekurang-kurangnya kita dapat perbaiki keadaan dari sekarang agar dapat membentuk generasi akan datang yang lebih beradab dan menghormati negara sendiri.

Kita percaya sekolah, ibu bapa dan masyarakat mempunyai peranan yang seimbang dalam hal ini.

Di sekolah misalnya, selama ini sudah ada pelbagai program, terutamanya ketika sambutan bulan kemerdekaan dan juga dalam mata pelajaran tertentu yang diajar dan diterapkan elemen patriotisme dan semangat cintakan negara.

Cuma mungkin sudah tiba masanya untuk kita melihat keberkesanan setiap program dan proses pembelajaran tersebut. Kita tidak mahu ia berlaku umpama melepaskan batuk di tangga, iaitu buat hanya kerana terpaksa buat.

Guru perlu memainkan peranan lebih mendalam supaya anak-anak di bangku sekolah memahami dan menjiwai semangat patriotisme yang diperlukan.

Program yang dianjurkan juga boleh diteliti semula agar pelaksanaannya memberikan impak yang besar.
Misalnya program berbentuk memupuk semangat patriotisme tidak boleh diadakan hanya pada bulan Ogos dan September semata-mata, sebaliknya perlu dirangka program yang berterusan sepanjang tahun supaya anak-anak sentiasa diingatkan tentang aspek ini.

Kita percaya dengan kaedah berterusan aspek patriotisme akan menyerap ke dalam sanubari setiap pelajar.

Ibu bapa juga tidak boleh mengabaikan tanggungjawab mereka dalam mendidik dan mengasuh anak-anak supaya menjiwai semangat sayangkan negara.

Sebagai individu yang paling rapat, ibu bapa kelihatan lebih mudah dan paling sesuai untuk menerapkan semangat ini dalam diri anak-anak.

Ajarlah mereka untuk menghargai pengorbanan generasi terdahulu, bersyukur dengan nikmat kemerdekaan yang ada serta sentiasa menghormati perkara penting seperti lagu, bendera, bahasa dan sebagainya.

Dalam pada itu masyarakat juga perlu memikul tanggungjawab untuk menunjukkan contoh yang baik supaya ia menjadi ikutan golongan muda.

Sedihnya pada hari ini golongan dewasa paling banyak bersikap biadab dan gagal menunjukkan contoh teladan yang baik.

Kita khuatir generasi muda akan terikut-ikut dengan budaya tersebut. Jadi sebelum terlewat marilah kita betulkan sikap sendiri sebelum menuding jari menyalahkan orang lain.

Hakikatnya inilah satu-satunya negara yang kita ada, kemerdekaan dan kedaulatan yang dinikmati pastinya tidak akan kekal selamanya andai kita sendiri gagal menghormati dan mempertahankannya.

Generasi terdahulu telah menzahirkan semangat patriotisme mereka melalui perjuangan di medan perang menentang penjajah, termasuk komunis.

Untuk generasi hari ini pula kita sepatutnya membuktikan semangat patriotisme melalui sikap dan tingkah laku yang menghormati dan mempertahankan semua simbol kenegaraan dan patriotisme seperti lagu, bendera, bahasa dan semua yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ringkasnya, inilah masa terbaik untuk kita mengukur tahap patriotisme masing-masing!

Noor Mohamad Shakil Hameed adalah timbalan pengarah Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi UPM

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.