Tak cukup peruntukan, 8 ahli Parlimen di KL serah surat pada Mahathir

Lim Lip Eng.

KUALA LUMPUR: Lapan daripada sepuluh ahli Parlimen di Kuala Lumpur menandatangani surat yang dihantar kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad meminta peruntukan tambahan.

Lim Lip Eng (PH-Kepong) berkata, situasi ahli-ahli Parlimen di Kuala Lumpur tidak boleh disamakan dengan ahli-ahli Parlimen lain memandangkan kawasan mereka tiada Adun dan ahli majlis.

“Semua isu tempatan, semua isu negara, masalah suami isteri bergaduh, ayam hilang, rakyat semuanya mencari ahli Parlimen. Jadi, ahli Parlimen di Kuala Lumpur memerlukan peruntukan pengurusan pejabat yang lebih tinggi, untuk mengupah kakitangan bagi menyelesaikan isu-isu tempatan,” katanya di Dewan Rakyat.

Lim turut meminta supaya Putrajaya menyediakan peruntukan khas dan menubuhkan jawatankuasa khas yang dipengerusikan ahli-ahli Parlimen di Kuala Lumpur untuk menyelesaikan masalah banjir kilat di ibu kota.

“Akan ada kesesakan trafik di Lembah Klang setiap kali hujan lebat. Ia sudah berlaku sejak zaman Barisan Nasional hingga pemerintahan Pakatan Harapan.

“Saya rasa kita tidak boleh bergantung lagi pada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Majlis Perbandaran Petaling Jaya,” katanya.