Pelan ganti PM telah sedia, jangan menyibuk, Rayer beritahu PAS, Umno

Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Jelutong mewakili DAP RSN Rayer hari ini membidas ahli Parlimen PAS dan Umno yang menyuarakan sokongan supaya Dr Mahathir Mohamad menyempurnakan tempoh lima tahun jawatan beliau sebagai perdana menteri dengan berkata, kemungkinan wujud tujuan serong lain yang sedang direncanakan.

Dalam satu kenyataan, Rayer berkata, kemungkinan terdapat “rancangan jahat” untuk menimbulkan pergeseran antara Mahathir dengan bakal pengganti beliau, Anwar Ibrahim.

“Saya juga mengesyaki bahawa perisytiharan sokongan ini bertujuan menggugat perpaduan dalam Pakatan Harapan (PH) dengan melaga-lagakan Mahathir dengan Anwar dan sebaliknya,” kata beliau.

“Kita mesti mengingatkan diri sendiri bahawa peralihan jawatan perdana menteri telah dibincangkan dan dipersetujui antara Mahathir dan Anwar.

“Saya percaya apabila tiba waktunya, akan berlaku peralihan yang lancar dan Anwar dilantik sebagai perdana menteri kelapan.”

Ahli Parlimen Umno, iaitu Mohd Shahran Abdullah (Paya Besar), Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar), Ahmad Nazlan Idris (Jerantut), Adham Baba (Tenggara), Ismail Abdul Mutalib (Maran) dan Abdul Rahman Mohamad (Lipis) membuat perisytiharan menyokong Mahathir di lobi Parlimen semalam.

Mereka berkata, mereka menyokong gesaan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali supaya Mahathir kekal mengetuai kerajaan sehingga tamat penggal kerana negara tidak akan mendapat kelebihan sekiranya berlaku peralihan kuasa.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata di Dewan Rakyat, “jika berlaku sesuatu”, kesemua 18 ahli Parlimen parti itu akan menyokong Mahathir.

Rayer bagaimanapun berkata, gabungan PH dibentuk sebelum pilhan raya umum ke-14 lepas dan akan kekal utuh sama ada “dengan sokongan ahli Parlimen Umno dan PAS atau sebaliknya”.

“Nasihat saya kepada ahli Parlimen PAS dan Umno ialah ‘jaga hal sendiri dan jangan menyibuk’.”