Tawaran RM1,000 sekaki tanah Kg Baru munasabah, kata pemaju

PETALING JAYA: Tawaran terbaru kerajaan untuk tanah di Kampung Baru adalah wajar kerana tanah itu tidak boleh dijual di pasaran terbuka, kata seorang pemaju hartanah.

Pengarah Urusan Asas Dunia Bhd, Jerry Chan berkata, tawaran RM1,000 berbanding RM850 sekaki persegi sebelum ini adalah munasabah kerana kerajaan perlu menjaga kepentingannya ke atas tanah itu.

Katanya, kepentingan itu termasuk mengekalkan Kampung Baru sebagai kawasan Melayu dan memastikan hartanah yang akan dibina mampu dibeli orang Melayu.

“Jika entiti komersial membeli tanah itu, keuntungan menjadi faktor pertama dan paling utama bagi mereka.

“Sesiapa saja yang membelinya mahu membangunkan hartanah dan menjualnya pada harga tertinggi.

“Hartanah ini kemudiannya menjadi kurang menarik bagi masyarakat Melayu,” katanya.

Chan berkata, Dr Mahathir Mohamad turut memberi amaran mengenai penjualan tanah itu pada harga lebih tinggi kerana ia akan menyebabkan hartanah yang akan dibangunkan nanti tidak mampu dimiliki orang Melayu.

Khamis lalu, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad dilaporkan berkata, kerajaan menawarkan RM1,000 sekaki persegi kepada pemilik tanah, selepas perbincangan dengan perdana menteri.

“Saya anggap ini tawaran terakhir dan terbaik oleh kerajaan kepada semua pemilik tanah di Kampung Baru, katanya dalam sidang media di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Beliau berkata, mereka yang menerima tawaran itu layak mendapat diskaun 15% apabila membeli hartanah yang akan dibangunkan di tanah terbabit.

Katanya, 85% daripada tawaran harga itu akan dibayar secara tunai atau cara lain yang dipilih penjual, manakala bakinya dalam bentuk saham syarikat tujuan khas (SPV) yang bakal ditubuhkan bagi projek pembangunan di Kampung Baru.

Ditanya jika harga yang ditawarkan kerajaan akan menjejaskan harga tanah di kawasan sekitar, Chan berkata, “pasaran terbuka dan Kampung Baru adalah dua lapangan berbeza”.

“Kaveat tertentu sudah ada bagi tanah Kampung Baru, di mana kawasan lain diletakkan harga berdasarkan nilai pasaran terbuka. Di pasaran terbuka, sesiapa saja boleh membeli tanah dan hartanah yang mereka mahu.

“Jadi, harga di sekitar harga itu tidak akan terjejas dalam apa jua cara. Tanah di Kampung Baru dan pasaran terbuka mempunyai tujuan pembangunan dan pasaran sasaran berbeza.”

Ditanya jika pemilik tanah akan menerima tawaran itu atau melabur hartanah di sana, katanya, ada yang sudah berpindah dan tinggal di tempat lain, “jadi mengambil wang atau melabur dalam hartanah bergantung kepada keperluan mereka”.

“Ada yang mungkin masih mempunyai tautan peribadi dengan tempat itu. Jadi, gambaran lebih besar di sini ialah bagaimana kerajaan mahu membantu mereka merealisasikan potensi pembangunan tanah mereka.

“Jika sektor swasta mahu melakukannya, kerajaan mungkin kata ‘silakan’, tetapi ia di luar kemampuan kita untuk berbuat demikian. Jadi, kita perlu memberi kredit kepada kerajaan atas tindakan mereka.”