Mahathir: Boleh bincang peralihan kuasa dalam Majlis Presiden jika mahu

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim

BAKU: Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau bersetuju jika isu peralihan jawatan Perdana Menteri dibincangkan dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

“Kalau nak bincang, boleh bincang dalam Majlis Presiden,” katanya ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang menyatakan kesediaan beliau untuk berbincang peralihan jawatan Perdana Menteri menerusi mesyuarat Majlis Presiden PH.

Mahathir berkata beliau bersetuju berbuat demikian kerana dalam Majlis Presiden PH itulah cadangan untuk melantik para pemimpin PH dibuat dahulu.

“…dan juga kedudukan Anwar Ibrahim dan cadangan saya jadi pengerusi, dan bakal perdana menteri,” kata beliau pada sidang media bersama wartawan Malaysia sebelum berangkat ke Turkmenistan untuk lawatan rasmi dua hari.

Mahathir, yang berada di sini untuk Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) ke-18, yang berakhir hari ini, berkata beliau bersetuju jika ada pihak yang mahu membincangkan isu itu.

Wan Azizah, yang juga presiden PH, dilaporkan sebagai berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Muhyiddin Yassin bahawa isu peralihan kuasa antara Mahathir dan Anwar secara terperinci seharusnya dibincangkan secara muafakat dalaman antara pemimpin PH.

Muhyiddin, yang juga presiden PPBM, berkata memang soal peralihan kuasa disebut ketika perjanjian awal antara empat pemimpin melibatkan beliau, Wan Azizah, ketika itu presiden PKR; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu.