PM Singapura hargai sambal belacan istimewa Raja Permaisuri

SINGAPURA: Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong melahirkan rasa penghargaan atas kesudian Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyediakan sambal belacan istimewa air tangannya kepada keluarganya sejak sekian lama.

“Terima kasih atas kesudian dan kebaikan Raja Permaisuri Agong, menghantar kepada bapa (dan saya) sambal belacan sungguh istimewa sejak sekian lama ini!” kata Lee di Twitter.

“Saya berharap Raja Permaisuri gembira menghasilkannya seperti mana kami menikmatinya!” Lee mengakhiri kata-kata itu dengan emotikon wajah tersenyum.

Tanpa diketahui ramai, “diplomasi belacan” secara tidak langsung menjadi alat dalam mengukuhkan hubungan antara Malaysia dan Singapura.

Perkara ini diketahui apabila Raja Permaisuri Agong pada 25 Okt berkongsi rahsia bagaimana sambal belacan air tangannya menjadi kegemaran Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew.

Di Twitter, Tunku Azizah menyatakan bahawa baginda satu ketika dulu “pembekal rasmi” sambal belacan kepada Kuan Yew.

Malah, Raja Permaisuri Agong masih membekalkan sambal belacan ke republik itu. Sambal itu kini terus dinikmati dan digemari oleh anak lelaki Kuan Yew pula, yang juga perdana menteri Singapura sekarang, Hsien Loong.

“Telah lama saya ingin berkongsi ini dengan rakyat Malaysia. Saya pernah menjadi pembekal rasmi sambal belacan kepada Perdana Menteri Singapura. Kuan Yew…dan kini pembekal kepada anaknya, PM Lee,” kata Raja Permaisuri Agong di Twitter.

Tunku Azizah turut berkongsi gambar sepucuk surat yang ditulis oleh Kuan Yew mengenai perkara ini di Instagram.

Surat berkenaan bertarikh 23 Julai 2009 ditulis: “Enam paket (sambal) belacan yang diberikan kepada saya sungguh sedap. Saya berkongsi dengan dua anak lelaki saya. Semua telah habis dimakan. Ia cili belacan yang paling sedap pernah kami rasai. Bolehkah keluarga saya dapatkannya lagi?

“Harap maaf kerana terpaksa menyusahkan. Tetapi ia telah menjadikan banyak masakan lebih berperisa.”

Tunku Azizah, yang memuatkan gambar itu pada 2 Mei, 2018, bertitah bahawa surat itu amat bernilai kepadanya.

“…semuanya kerana sambal belacan…Saya begitu terharu,” kata Tunku Azizah.

Akaun Instagramnya menyimpan koleksi resipi Raja Permaisuri Agong, memaparkan popularitinya sebagai ahli kerabat DiRaja yang gemar memasak.