Kerajaan timbang harga maksimum RM7.5 bilion untuk PLUS, lapor media

Laporan media terkini menyebut kerajaan sedang mempertimbangkan harga maksimum RM7.5 bilion untuk PLUS Malaysia Berhad.

PETALING JAYA: Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk membayar tidak lebih daripada RM7.5 bilion untuk PLUS Malaysia Bhd sementara ia juga mengkaji sama ada mahu memperoleh aset itu, kata laporan media hari ini.

The Edge berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan pelan yang boleh melibatkan pembiayaan sendiri di mana kerajaan tidak perlu menjana wang tunai.

“Potensi penjimatan dari ini boleh mencapai lebih RM25 bilion memandangkan kerajaan tidak perlu membayar pampasan kerana ia akan memiliki laluan bertol,” kata sumber.

“Pelan yang dipertimbangkan melibatkan Khazanah (Nasional Bhd) mengambil nota kerajaan yang dikeluarkan untuk memperoleh PLUS,” kata laporan itu memetik sumber.

Sumber lain berkata terdapat perbincangan peringkat tinggi yang sedang menerokai idea meminta entiti swasta yang ingin mengambil alih PLUS untuk meletakkan deposit.

“PLUS bernilai lebih RM30 bilion jika anda menambah hutangnya.

“Pembeli yang berpotensi boleh meletakkan nilai wang tunai, katakan, peratusan aset, yang boleh menghasilkan beberapa ratus juta.

“Deposit tunai boleh dimasukkan ke akaun escrow milik kerajaan untuk jangka waktu tertentu. Inilah amalan biasa apabila ia melibatkan beberapa proses pembidaan kerajaan.”

Minggu lalu, RRJ Capital, salah satu syarikat menunjukkan minat untuk membeli PLUS Malaysia, sanggup menyediakan deposit RM500 juta dalam proses membida syarikat itu.

Pengerusinya, Richard Ong berkata kesediaan itu menunjukkan kesungguhan hasrat pihaknya mengambil alih pengendali konsesi lebuh raya terbesar negara.

RRJ Capital merupakan firma ekuiti swasta milik warga Malaysia, berpangkalan di Hong Kong. Selain syarikat itu tiga lagi pihak turut menunjukkan minat mengambil alih PLUS Malaysia.

Ia susulan pandangan Penasihat Khas Media dan Komunikasi kepada Perdana Menteri, A Kadir Jasin berkata pihak yang berminat untuk mengambil alih PLUS Malaysia patut membuktikan kesungguhan masing-masing dengan meletakkan deposit RM500 juta kepada kerajaan.

Setakat ini, selain RRJ Capital, turut menunjukkan minta untuk mengambil alih PLUS Malaysia gergasi pembinaan Bumiputera Widad Business Group, Maju Holdings dan tokoh perniagaan Halim Saad.

Lebuh raya yang terlibat dalam pengambilalihan Lebuhraya PLUS adalah Lebuhraya Lintasan Kedua, Jambatan Pulau Pinang, Lebuhraya Utara Selatan Lingkaran Tengah, Lebuhraya Butterworth-Kulim dan Lebuhraya Seremban-Port Dickson.