PRK Tg Piai: Presiden MCA senyum lebar selepas mesyuarat

Presiden MCA Wee Ka Siong berkata orang ramai sudah boleh meneka calon Barisan Nasional bagi di Tanjung Piai.

KUALA LUMPUR: Presiden MCA Wee Ka Siong gembira dengan hasil mesyuarat bersama Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden MIC SA Vigneswaran, mengatakan orang ramai sudah boleh meneka calon Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai.

Beliau berkata calon pilihan gabungan itu sudah dimuktamadkan dalam mesyuarat tersebut yang bersidang menerusi perisian Skype.

“Anda lihat muka saya,” katanya sambil tersenyum lebar di Parlimen hari ini.

“Kami sudah membuat keputusan dan akan tunggu pengumuman,” tambahnya.

Umno dilapor berhasrat untuk meletakkan calon di kerusi itu, yang dipertahankan oleh ketua MCA bahagian Wee Jeck Seng pada pilihan raya 2008 dan 2013.

Jeck Seng tewas kepada calon PKR, Md Farid Md Rafik dari PPBM pada piliihan raya 2018 dengan majoriti 524 undi. Kerusi Tanjung Piai kosong berikutan kematian Farid pada 21 Sept lalu akibat komplikasi jantung.

Wee enggan memberi bayangan latar belakang calon mereka, mengatakan “calon ini tidak susah untuk kita hendak teka”.

Beliau meminta pemberita mengikuti acara BN di Tanjung Piai esok malam, selepas “solat Isyak”.

“Kalau saya beritahu hari ini sudah tidak suspen,” katanya.