
KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan (PH), Saifuddin Abdullah mempersoalkan PAS jika ia akan menyokong calon Cina Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai kerana parti Islam itu pernah berkempen untuk calon Islam.
Katanya, lebih mudah untuk PAS menyokong calon PH, Karmaine Sardini yang merupakan calon Islam dan mempunyai rekod baik.
“Masalahnya adalah dengan PAS, bagaimana mereka akan berkempen di Tanjung Piai kerana mereka menyokong dan bekerjasama rapat dengan Umno. Saya rasa PAS perlu sokong calon PH.
“Mereka pernah berkempen menggunakan isu kaum dan agama untuk memilih calon di tempat lain. Jadi, terserah kepada rakyat untuk lihat parti mana yang berterus-terang,” katanya di lobi Parlimen hari ini.
Pada 25 Jan lalu, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang meminta pengundi Islam di PRK Cameron Highlands wajib menyokong calon yang mempunyai sifat keagamaan dan rekod bersih, iaitu calon BN, Ramli Mohd Nor.
Katanya, umat Islam tidak sepatutnya memilih calon DAP yang didakwanya menunjukkan tanda-tanda negatif yang tidak dapat disembunyikan terhadap Islam.
Tetapi, Hadi hari ini dilaporkan bersetuju dengan keputusan BN yang sekali lagi memilih Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai, Wee Jeck Seng bertanding di kerusi Parlimen itu dalam PRK pada bulan depan.
“Sokongan ini adalah selaras persefahaman yang dipersetujui dalam Muafakat Nasional antara Umno dan PAS yang ditandatangani pada 14 Sept lalu,” kata Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan sambil menambah parti itu berharap pemilihan Wee akan membawa pendekatan politik matang dan tidak melampau.
Wee pernah menjadi ahli Parlimen Tanjung Piai selama dua penggal mulai 2008, sebelum tewas tipis kepada Mohd Farid Mohd Rafik daripada PPBM pada Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lalu dalam pertembungan tiga penjuru membabitkan calon PAS.
Hari ini, Saifuddin berkata, PH tidak pernah menggunakan sentimen agama dan kaum sewaktu berkempen dalam PRK sebelum ini.
“Di mana kita letak calon itu bergantung pada perkiraan, sebab itu kita tidak boleh berkempen yang mengatakan pilihlah calon Cina atau Melayu dan sebagainya.
“Kalau kita betul-betul parti yang memahami kedudukan Malaysia yang majmuk dan keperluan kaum, rakyat dan agama, sudah pasti kita akan pilih calon pelbagai kaum.
“Ada masa kami letak calon Melayu dan ada masa kami letak calon Cina. Kami tidak berkempen kata mesti pilih yang Islam saja.”
PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan susulan kematian penyandangnya, Farid yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 Sept lalu.
Penamaan calon bagi PRK Tanjung Piai ditetapkan pada 2 Nov, manakala pengundian pada 16 Nov nanti.