6 pemimpin termasuk Dr M ‘boikot’ sidang Asean-AS protes Trump

Dr Mahathir Mohamad, Aung San Suu Kyi dan Rodrigo Duterte antara pemimpin Asean memboikot sidang kemuncak Asean-AS di Bangkok, hari ini. (Gambar AP)

BANGKOK: Kebanyakan pemimpin Asean tidak menyertai sidang kemuncak bersama wakil Amerika Syarikat (AS) hari ini selepas Presiden Donald Trump memutuskan untuk menjauhkan dari menghadiri pertemuan tahunan serantau untuk tahun kedua berturut-turut.

Hanya pemimpin Thailand, Laos dan Vietnam, berbanding 10 anggota negara Asean keseluruhannya, hadir dalam pertemuan dengan Penasihat Keselamatan Negara, Robert O’Brien, yang mengetuai delegasi AS.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyertai pemimpin dari enam negara lain dalam mengetepikan sesi itu.

Ia merupakan perwakilan peringkat terendah di pihak AS dalam mesyuarat tahunan sejak Barack Obama menaik taraf hubungan dengan Asean pada 2011.

Dalam ucapannya pada sidang kemuncak tersebut, O’Brien berkata AS akan mempertahankan hubungannya dengan Asean dalam apa jua kos.

Beliau membacakan dengan lantang surat Trump yang mengundang pemimpin serantau untuk bergabung dengannya di AS untuk sidang kemuncak khas.

Ketiga pemimpin yang hadir termasuk Prayuth Chan-Ocha dari Thailand, pengerusi Asean semasa; Thongloun Sisoulith dari Laos, koordinator antara blok dan AS; dan Nguyen Xuan Phuc dari Vietnam, yang akan menjadi tuan rumah mesyuarat Asean pada 2020.

Jurucakap kementerian luar Thai, Busadee Santipitaks mengesahkan pemimpin lain menjauhi pertemuan bersama wakil AS.

Video dari acara tersebut menunjukkan tujuh menteri luar duduk di meja yang biasanya dikhaskan untuk perdana menteri.

Kenyataan Santenderaks datang selepas seorang wartawan mempersoalkan mengapa hanya tiga pemimpin yang hadir.

AS telah menyatakan keprihatinannya kepada diplomat-diplomat Asean mengenai “usaha sengaja untuk memalukan” Trump dengan pemulauan separa itu, lapor Bangkok Post, memetik seorang diplomat yang tidak dikenali.

“Kami amat mengambil berat dengan keputusan yang jelas itu,” kata diplomat itu memetik mesej AS kepada blok tersebut, menurut akhbar itu.

Setiausaha Perdagangan Wilbur Ross, yang turut berada di Bangkok, mempertahankan strategi AS di Asia pada hari ini.

Beliau berkata Trump kekal “komited sepenuhnya” kepada Indo-Pasifik, memetik 24 pegawai kanan AS dan lapan agensi kerajaan yang diwakili dalam mesyuarat tersebut.

“Dari segi penyertaan kami di sini, ia sangat, sangat sempurna,” kata Ross dalam satu temu bual.

AS dan Asean tidak mengeluarkan kenyataan selepas mesyuarat itu.

China menghantar Perdana Menteri Li Keqiang – orang nombor dua Presiden Xi Jinping – seperti yang dilakukan setiap tahun.