Bekas ketua eksekutif firma elektrik Indonesia bebas tuduhan rasuah

Sofyan Basir, ketua eksekutif utiliti elektrik Indonesia Perusahaan Listrik Negara dibebaskan dari tuduhan rasuah hari ini. (Gambar Reuters)

JAKARTA: Seorang bekas ketua eksekutif utiliti elektrik Indonesia, Perusahaan Listrik Negara (PLN), hari ini bebas daripada tuduhan rasuah yang berkaitan dengan projek penjanaan tenaga.

Pendakwa raya Komisi Pembanterasan Korupsi (KPK) Indonesia menuduh Sofyan Basir menerima “suap” yang berkaitan dengan kontrak pembinaan sebuah loji kuasa di wilayah Riau, pulau Sumatera.

“Kami dengan ini mengisytiharkan defendan tidak bersalah melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang seperti dakwaan pertama dan kedua,” kata ketua hakim mahkamah rasuah negara itu, Hariono.

Sofyan dinamakan sebagai suspek pada April lalu selepas polis menyerbu kediamannya pada pertengahan 2018.

Dua suspek lain didapati bersalah selepas operasi perangkap pada 2018. Pendakwa raya juga mencadangkan hukuman penjara lima tahun dan denda 200 juta rupiah (AS$ 14,000) ke atas Sofyan.

“Saya bersyukur Tuhan memberikan yang terbaik kepada saya hari ini,” kata beliau kepada pemberita dalam siaran menerusi televisyen.

Susilo Ariwibowo, peguam Basir, memberitahu Metro TV kliennya sebagai fasilitator dalam kes itu tidak pernah terbukti salah.

Keputusan yang tidak bersalah adalah keputusan yang jarang berlaku di KPK. Laode M. Syarif, timbalan ketua KPK berkata ia memutuskan sama ada hendak membuat rayuan atau sebaliknya.