Lynas, Mara Corp tandatangan MoU bangun industri hiliran nadir bumi

(Dari kiri) CEO Lynas Amanda Lacaze, naib presiden dan pengarah urusan Lynas Mashal Ahmad, Pengerusi Mara Corp Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanuis dan Pesuruhjaya Tinggi Australia Andrew Goledziowski pada majlis menandatangani MoU, hari ini.

KUALA LUMPUR: Lynas Malaysia Sdn Bhd dan Mara Corporation Sdn Bhd menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi membangunkan industri hiliran di Malaysia sebagai satu usaha untuk menarik pelaburan dan mencipta peluang pekerjaan.

MoU tersebut yang ditandatangani antara pengerusi Mara Corp Akhramsyah Muammau Ubaidah Sanusi dengan naib presiden dan pengarah urusan Lynas Mashal Ahmad turut merangkumi kerjasama dalam mengkomersilkan sisa bukan-radioaktif dari kilang Lynas Malaysia di Gebeng, Kuantan.

Sisa tersebut akan dijadikan perawat tanah yang disahkan selamat oleh Institut Standard dan Penyelidikan Malaysia (Sirim) dan boleh didapati oleh petani.

Akhramsyah berkata, Lynas menyediakan peluang kepada Malaysia untuk membangunkan industri hiliran kerana ia merupakan satu-satu negara pemproses nadir bumi di luar China.

“Kita membenarkan sebuah industri strategik terbiar. Kita kehilangan peluang selama satu dekad,” katanya, dengan menambah bahawa industri hiliran berkaitan tidak dibangunkan walaupun Lynas berada di negara ini sepanjang 12 tahun lepas.

Beliau merujuk satu contoh sebuah syarikat pembuatan asing yang mahu memulakan perniagaan di Malaysia, tetapi memilih untuk berpindah ke Vietnam berikutan kebimbangan mengenai protes politik terhadap Lynas.

Katanya, nadir bumi diperlukan di seluruh dunia dan digunakan secara meluas dalam industri automotif, terutamanya kenderaan elektrik dan industri tenaga boleh diperbaharui serta telefon bimbit.

Beliau berkata, Mara bercadang untuk menubuhkan sebuah pusat kecemerlangan yang memberi tumpuan kepada nadir bumi.

“Bagi kita, Lynas bukan sahaja akan kekal di sini, tetapi juga akan berkembang,” katanya.

Beliau menggesa anggota Kabinet yang bimbang berhubung Lynas supaya melawat kilangnya.

Mashal berkata, Lynas berharap untuk melihat lebih banyak syarikat besar membina kilang mereka di Malaysia.

Katanya, tempoh perdebatan awam mengenai keselamatan dan bahaya Lynas sudah berakhir dan operasinya didapati selamat oleh agensi tempatan dan antarabangsa, termasuk jawatankuasa kajian yang diwujudkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Ketua pegawai eksekutif Lynas Amanda Lacaze berkata, untuk tempoh lima tahun akan datang, syarikat itu merancang untuk meningkatkan kapasiti pengeluarannya sebanyak 50% dan mempeluaskan kehadirannya di peringkat dunia dengan membangunkan kilang di Australia dan Amerika Syarikat.

Turut hadir ialah Pesuruhaya Tinggi Australia Andrew Goledzinowski.