Malaysia cemerlang dalam Matlamat Pembangunan Mampan, kata pegawai PBB

KUALA LUMPUR: Malaysia lebih cemerlang berbanding negara-negara lain dari segi mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), terutama dalam membasmi kemiskinan serta menyediakan pendidikan dan penjagaan kesihatan, menurut seorang pegawai PBB.

Penyelaras Residen PBB di Malaysia Stefan Priesner berkata walaupun negara ini mencapai kemajuan yang besar dalam mengurangkan kemiskinan, ia boleh melakukan lebih banyak lagi dengan menyasarkan lokasi kawasan kemiskinan dan kumpulan yang terdedah dengan kemiskinan.

“Kekuatan data, yang hanya tersedia dalam tempoh 10 hingga 15 tahun yang lalu, telah memberi peluang kepada kita untuk menentukan titik panas di mana kemiskinan berlaku, sama ada di kawasan luar bandar atau bandar.

“Ia akan menjadi penunjuk yang hebat bagi negara-negara seperti Malaysia untuk menyelesaikan masalah dengan berkesan,” katanya selepas sesi perbincangan mengenai Persidangan Meja Bulat SDG di Wisma Bernama hari ini.

Timbalan Ketua Pengarang (Perniagaan & Kewangan) Bernama, Khaidzir Md Yunus bertindak sebagai moderator pada sesi itu bagi memberikan gambaran mengenai Sidang Kemuncak SDG 2019 yang akan diadakan selama dua hari di ibu negara bermula Rabu.

Selain Priesner, Timbalan Ketua Setiausaha (Makro) Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA), Zakiah Jaafar juga berinteraksi dengan ahli panel meja bulat yang terdiri daripada pasukan editorial Bernama.

Priesner berkata Malaysia melakukan yang terbaik dan meliputi kebanyakan isu dari segi pendidikan dan penjagaan kesihatan, dan kini ia harus menumpukan pada peningkatan kualiti kedua-dua sektor, yang memerlukan sejumlah besar pelaburan dari segi sumber.

Mengenai alam sekitar, beliau berkata, Malaysia salah satu daripada 10 titik panas kepelbagaian biologi atau biodiversiti di dunia dari segi hutan hujannya, di mana biodiversiti itu berkali-kali ganda tingginya daripada di Eropah. Oleh itu, katanya, penting untuk memelihara hutan hujan dan hidupan liar.

“Sebagai contoh, di Eropah, saya perlu melakukan perjalanan sejauh beberapa kilometer untuk melihat jumlah biodiversiti yang sama yang dapat saya lihat di Sarawak dengan berjalan kaki sejauh 100 meter, yang menunjukkan betapa pentingnya agenda biodiversiti di Malaysia,” kata Priesner, yang juga wakil residen Program Pembangunan PBB (UNDP) untuk Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam.

Pada 2015, semua 193 negara anggota PBB sebulat suara mengguna pakai Agenda 2030 dan SDG dengan 17 matlamat yang mengimbangi pembangunan asas ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Sementara itu, Zakiah berkata pembangunan mampan Malaysia dilaksanakan sejak 1970-an, dengan penekanan untuk menghapuskan kemiskinan, meningkatkan kesejahteraan rakyat, menyediakan akses universal kepada pendidikan serta menjaga alam sekitar.

Beliau berkata langkah-langkah yang diambil termasuk memperkukuhkan rangka kerja institusi untuk pembangunan mampan dan meningkatkan penyelarasan melalui penyelarasan SDG dengan pelan pembangunan lima tahun negara.

Ujarnya lagi, bagi Malaysia untuk mengiktiraf pelaksanaan SDG yang menyeluruh, ia memerlukan pengerahan sumber, termasuk tenaga kerja, pembinaan kapasiti, ruang fizikal dan pembiayaan.

“Malaysia melaksanakan satu usaha pemetaan untuk menyelaraskan pelaksanaan SDG bawah Rangka Kerja Rancangan Malaysia ke-11 (11MP) untuk memastikan kerjasama yang efektif antara pihak berkepentingan, penggerak dan penggunaan sumber yang cekap, serta mekanisme pemantauan yang lebih baik untuk penilaian.

“Latihan integrasi ini melibatkan pemetaan inisiatif pelan tindakan dan hasil 11MP kepada matlamat, sasaran, dan penunjuk SDG,” katanya pada sesi meja bulat.