MB Kedah kesal orang tengah ‘untung atas angin’ jual tanah lapangan terbang Kulim

Peta menunjukkan kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang bakal dibangunkan.

JITRA: Kerajaan negeri Kedah tidak pernah melantik mana-mana pihak sebagai ‘orang tengah’, untuk berunding dengan pemilik mengenai nilai tanah yang terlibat dengan pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP).

Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir berkata, kewujudan ‘orang tengah’ atau penilai swasta ini amat dikesalkan, kerana tujuan mereka hanyalah untuk mengaut ‘untung atas angin’ dan mengambil kesempatan terhadap pemilik yang kurang faham mengenai isu pengambilan tanah, untuk kepentingan umum.

“Sudah ada pihak yang jadi penilai swasta yang sebenarnya tidak ditauliahkan oleh pemaju atau syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC), yang dimaksudkan di sini ialah pihak kerajaan negeri.

“Mereka keluarkan notis dan jemput pemilik tanah terlibat untuk hadir ke sesi taklimat mengenai pengambilan tanah oleh kerajaan (untuk bina KXP), tapi sebenarnya dia tak terlibat, saja nak jadi orang tengah,” katanya kepada pemberita selepas majlis Penyampaian Sijil Hak Milik dan Lesen Pendudukan Sementara di sini, semalam.

Beliau berkata pihaknya juga tidak berpuas hati kerana pihak tidak bertanggungjawab itu turut mempunyai maklumat lengkap mengenai cadangan persempadanan untuk pembangunan KXP, sedangkan perkara itu masih dalam peringkat ‘pemikiran’ kerajaan negeri dan masih belum diumumkan.

“Saya tak puas hati kerana sempadan sedang difikirkan kerajaan, tapi pihak swasta dah dapat maklumat dan ini tak semestinya berlaku… (mesti) berlaku ketirisan di mana-mana, tapi setahu kami tak ramai tahu tentang ini,” katanya.

Mukhriz turut menasihatkan orang awam yang terlibat dengan proses pengambilan tanah untuk sebarang projek pembangunan di negeri ini, supaya berurusan terus dengan pihak kerajaan negeri bagi mengelakkan mereka daripada dipergunakan.

Dalam pada itu katanya nilai atau kadar harga tanah yang ditetapkan mestilah berpandukan penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) yang munasabah.

“Apabila ia (pengambilan tanah) bertujuan untuk kepentingan awam, kita tidak mahulah kos melambung terlampau tinggi kerana ia akhirnya akan menggagalkan hasrat kerajaan, untuk bangunkan sesuatu projek demi kepentingan rakyat, jadi kita semua akan rugi,” katanya.

Sehubungan itu katanya, pemilik tanah dinasihatkan agar tidak membuat tuntutan luar daripada penilaian, yang akhirnya akan mengagalkan projek berkenaan.

Beliau juga menegaskan bahawa hasrat kerajaan negeri untuk membangunkan KXP adalah demi memajukan Kedah dan seluruh wilayah utara.