NGO desak Parlimen isytihar LTTE pergerakan haram

Ahmad Zahid Hamidi (tengah) antara wakil ahli Parlimen yang hadir menerima memorandum disampaikan beberapa NGO diketuai Gerakan Pembela Ummah di luar bangunan Parlimen hari ini.

KUALA LUMPUR: Beberapa badan bukan kerajaan yang diketuai Gerakan Pembela Ummah (Ummah) mengadakan bantahan di luar bangunan Parlimen hari ini bagi mendesak kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) diisytiharkan pergerakan haram.

Pengerusi Ummah, Aminuddin Yahaya berkata, kumpulan itu mendesak ahli Parlimen kerajaan mengambil serius isu LTTE memandangkan ahli politik DAP turut didakwa menyokong kumpulan pengganas itu.

“Kita minta wakil-wakil yang ada hari ini terus bangkitkan isu ini di dalam Parlimen, biar diwartakan, ditimbulkan dalam Parlimen, disahkan dalam Parlimen bahawa LTTE ini gerakan haram yang perlu diambil tindakan secepat mungkin.

“Kalau tak ada tindakan tegas daripada kerajaan, polis dan sebagainya, kita tidak menolak kemungkinan akan ajak rakyat bangkit lagi kerana ini isu anak bangsa kita, anak cucu kita sudah terancam.

“Ini terbukti mereka bukan saja mengancam dari segi keselamatan, tetapi kenyataan mereka mencabar polis. Ini kesombongan tahap tinggi, kita harap tidak ada jaminan sama sekali terhadap mereka ini,” katanya ketika mengetuai lebih 50 orang berhimpun di luar Parlimen.

Aminuddin turut memberi amaran kepada peguam negara supaya tidak campur tangan dalam kes LTTE atau mereka akan mengadakan protes di depan Jabatan Peguam Negara.

Terdahulu, Ketua Whip Pakatan Harapan, Johari Abdul bersama Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man antara yang hadir menerima memorandum disampaikan kumpulan itu.

Tuan Ibrahim berkata, PAS tidak akan berkompromi dengan isu membabitkan keselamatan negara.

“Kerajaan mesti kuat kuasa peraturan sedia ada, jangan anggap LTTE bukan pengganas. Kita harap kerajaan mengawal dana asing, Malaysia jadi tempat transit sangat bahaya, tahap serius jadi tempat persinggahan, tempat rekrut.”

Zahid yang juga bekas menteri dalam negeri, mengingatkan pemimpin politik tidak menganggap tindakan polis menahan Adun dan ahli DAP berunsur politik.

Sementara itu, Johari berkata, kerajaan tidak akan berkompromi dengan isu membabitkan keselamatan negara.

“Terima kasih kerana bagi memorandum, kami akan lihat secara mendalam. Sebagai rakyat Malaysia yang cintakan negara, kita takkan kompromi soal keselamatan negara.”

Pada 29 Okt lalu, Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, kementeriannya mengesahkan DAP tidak terbabit dengan LTTE, meskipun dua Adunnya, G Saminathan dan P Gunasekaren didakwa menyokong LTTE.

Katanya, penahanan dua wakil rakyat itu dan ahli DAP tidak mewakili parti komponen PH itu.

Pada 31 Okt lalu, Gunasekaren, Saminathan, V Suresh Kumar dan B Subramaniam didakwa memberi sokongan kepada LTTE melalui ucapan atau media sosial sejak 2014 hingga bulan ini.

Lapan lagi – A Kalaimughilan, S Chandru, V Balamurugan, S Arivainthan, R Sundram, S Thangaraj, M Pumugan dan S Teran – berdepan satu pertuduhan tambahan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas itu.

Semua kecuali Subramaniam dan Suresh Kumar didakwa dengan pertuduhan sama di lima negeri pada 29 Okt lalu.

Mereka berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun atau seumur hidup, jika sabit kesalahan.