Saifuddin cabar pembangkang sedia belanjawan alternatif

Pemimpin kanan Pakatan Harapan, Saifuddin Nasution Ismail mencabar pembangkang membentangkan belanjawan alternatif tahun depan.

GEORGE TOWN: Barisan pembangkang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang dicabar menyediakan belanjawan alternatif, supaya rakyat dapat membuat perbandingan dengan belanjawan disediakan kerajaan negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Pantai Jerejak, Saifuddin Nasution Ismail berkata beliau telah mengikuti sepanjang perbahasan Ketua Pembangkang,Muhamad Yusoff Mohd Noor yang mempunyai banyak syor, idea,cadangan, teguran dan kritikan.

“Saya melihat ketua pembangkang merupakan orang lama dan sangat ‘berpengetahuan’ dan sangat prorakyat terutamanya isu-isu padi dan kemiskinan, alangkah baiknya ia diolah menjadi satu dokumen sebagai bajet alternatif.

“Saya percaya mereka patut menyahut cabaran ini dan bentangkan belanjawan alternatif tahun depan beberapa hari sebelum belanjawan negeri,” kata beliau.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu turut mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan dan Usul Anggaran Pembangunan 2020 di Dewan Undangan Negeri semalam.

Katanya ketika Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan sebagai pembangkang di peringkat persekutuan, setiap tahun mereka akan membentangkan belanjawan alternatif, agar rakyat akan membuat perbandingan.

“Jadi rakyat boleh buat perbandingan. Saya percaya amalan itu elok dan harus diikuti pembangkang Pulau Pinang agar perbahasan kita akan lebih tertumpu kepada dasar-dasar negeri,” katanya.

Ketika ditanya tentang kekurangan anggota akan menyukarkan pihak pembangkang Pulau Pinang, Saifuddin berkata itu tidak sepatutnya dijadikan alasan kerana mereka ada keupayaan tenaga dari luar.

“Kami dulu pernah bergelut untuk mendapatkan maklumat. Bajet ini adalah mengumpulkan data dan kalau kita tiada, kita kena berani membuat unjuran dan unjuran kita itu mesti munasabah.

“Jadi saya rasa Umno dan PAS mereka ada keupayaan tenaga itu dari luar. Mereka bukan YB tetapi mereka kelompok profesional,” katanya.

Barisan pembangkang Pulau Pinang kini diketuai oleh Muhamad Yusoff dan dianggotai oleh Adun Penang Mohd Yusni Mat Piah dan Adun Permatang Berangan Nor Hafizah Othman.