BN boleh rampas balik 5 negeri diperintah PH jika bersatu, kata Tok Mat

Mohamad Hasan berucap dalam ceramah berkelompok BN di Kampung Penerok, Kukup, malam tadi.

KUKUP: Mohamad Hasan berkata, Barisan Nasional boleh merampas lima negeri ditadbir Pakatan Harapan dan mempertahankan negeri sedia ada pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), jika Piagam Muafakat Nasional yang dimeterai Umno-PAS berjaya dilaksanakan.

Timbalan presiden Umno itu berkata, berdasarkan politik semasa dan Piagam Muafakat Nasional, BN boleh merampas Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Kedah dan Johor, jika semua parti komponennya bersama PAS bersatu padu.

“Dulu (kerusi Dewan Undangan Negeri) Rantau tidak patut kalah…tapi sebab gaduh sesama sendiri, disabotaj kawan-kawan sendiri, sebab masalah dalaman, kita kalah. Orang tua cakap sepakat punca selamat, sengketa punca celaka.

“Berdasarkan situasi semasa, penggabungan Umno dan PAS dalam Muafakat Nasional, kita sudah boleh ambil Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah, selain mempertahankan negeri dimenangi semasa PRU14.

“Kalau Johor digaul elok, sudah 10 negeri boleh menang, tetapi tidak boleh bergaduh. Jangan ingat sudah Muafakat Nasional, boleh menang besar sebab kita masih perlu Sabah dan Sarawak,” katanya pada ceramah berkelompok BN yang turut dihadiri calon MCA, Wee Jeck Seng di Kampung Penerok, Kukup, malam tadi.

Pada PRU14 tahun lalu, BN berjaya mempertahankan Perlis dan Pahang, manakala PAS menang di Kelantan dan Terengganu, tetapi Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Perak dan Kedah jatuh ke tangan PH.

Mohamad berkata, untuk menawan Putrajaya, BN tidak boleh mengetepikan Sabah dan Sarawak.

Mohamad Hasan berkempen untuk calon BN, Wee Jeck Seng (tiga dari kanan) di Pontian malam tadi.

“Saya tawar Sabah ada kuasa autonomi penuh sebab perjuangan Sabah adalah untuk mewujudkan kerajaan autonomi Sabah. Kita juga jaga silaturrahim dengan Sarawak, boleh ambil Putrajaya. Mari sama-sama pandang gambar besar hendak amik Putrajaya.”

Timbalan pengerusi BN itu turut menasihatkan kaum Cina tidak bimbang dengan kerjasama Umno-PAS kerana penyatuan orang Melayu hanya strategi untuk mengelakkan pertandingan tiga penjuru pada PRU15.

Beliau turut menyeru pengundi PRK Parlimen Tanjung Piai mengambil semangat gunung dari Cameron Highlands, semangat bandar dari Semenyih, mendukung semangat Rantau untuk menang di Tanjung Piai.

Jangan melampaui batas

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat menyelar beberapa menteri PH yang didakwa mengeluarkan kenyataan melampaui batas.

“Saya nak nasihat walaupun bukan kapasiti saya nasihat menteri, tetapi kepada bapa menteri baru belajar, saya harap mereka belajar (tidak) melampaui batas. Nak menang kena ‘gentleman’ sebab orang sekarang bukan bodoh.”

Semalam, Pemuda Umno mendakwa Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub membuat kenyataan rasis dan cauvinis ketika berkempen di PRK Tanjung Piai.

Salahuddin didakwa membuat kenyataan itu dalam satu perjumpaan tertutup dengan pengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Pei Chio di Kukup Laut kelmarin, di mana klip video didakwa ucapan itu menunjukkan beliau berkata, Malaysia akan menjadi huru-hara jika BN kembali berkuasa, dengan tembakan dan kebakaran berlaku di merata tempat.

Susulan itu, Pemuda BN Johor membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya menggesa timbalan presiden Amanah itu disiasat.

Umno tiada kaitan dengan Berjasa

Mohamad berkata, Umno tiada kaitan dengan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan memberi amaran kepada calonnya, Badhrulhisham Abdul Aziz tidak menjaja nama Umno untuk meraih undi.

“…Berjasa adalah kawan dengan PAS. Itu rumah tangga mereka.

“Di sini PAS mengatakan dia akan sokong siapa saja calon BN, itu pendirian dia. Kita letak calon yang rasa boleh menang sebab nak hantar mesej, Umno bukan rasis seperti mana dituduh orang-orang PH. Kita lihat kepentingan pada PRU15.”