Malaysia catat PMI sektor pembuatan tertinggi dalam 6 bulan, kata Guan Eng

Menteri Kewangan Lim Guan Eng

PETALING JAYA: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata Indeks Pengurus Pembelian (PMI) untuk sektor pembuatan Malaysia naik ke paras tertinggi dalam tempoh enam bulan lalu ke 49.3 mata untuk Okt 2019, daripada 47.9 mata bulan sebelumnya/

Kata beliau, bacaan PMI pembuatan tertinggi bagi tempoh enam bulan ini akan membantu Malaysia mencapai sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) 4.7% pada 2019.

“Peningkatan PMI secara mendadak daripada 47.9 mata bagi bulan Sept ke 49.3 mata bagi bulan Okt merupakan antara kenaikan yang terbesar.

“Dan, ia memberikan keyakinan bahawa ekonomi negara akan terus tumbuh secara mampan,” kata beliau dalam kenyataan.

Lim berkata kebanyakan negara berdepan dengan cabaran perang perdagangan hebat sehinggakan kerajaan Singapura
menyatakan bahawa mereka dianggap bernasib baik sekiranya negara tersebut dapat merekod sebarang pertumbuhan untuk tahun ini.

“Kenaikan PMI dalam bulan Okt didorong oleh peningkatan jumlah tempahan dan juga output pembuatan.

“Unjuran perniagaan sedang bertambah baik dan ini telah meyakinkan lebih banyak pengeluar merancang untuk mengembangkan perniagaan mereka.

“Oleh itu, jumlah pekerja di kalangan syarikat sektor pembuatan telah meningkat,” kata beliau.

Perangkaan tenaga buruh terbaru menunjukkan kadar penyertaan tenaga buruh di Malaysia telah naik kepada 68.6% dalam bulan Ogos 2019 iaitu peningkatan 0.1 mata peratusan daripada bulan Julai 2019, kata beliau.

“Jumlah mereka yang bekerja juga telah naik setinggi 1.9% tahun-ke-tahun kepada 15.19 juta orang. Kadar pengangguran pula kekal rendah dan stabil pada 3.3%,” katanya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2020, kerajaan telah mengunjurkan KDNK 2019 negara akan berkembang secara mampan pada kadar 4.7%.

Kata Lim, berdasarkan kepada perangkaan KDNK separuh tahun pertama yang mencatatkan pertumbuhan setinggi 4.7%, lebihan dagangan yang terbesar dalam tempoh sembilan bulan pertama bernilai RM100.9 bilion, dan peningkatan bacaan PMI pembuatan secara berterusan, kerajaan yakin ekonomi Malaysia akan mencapai sasaran pertumbuhan KDNK 4.7% untuk tahun 2019.

“Sekiranya pertikaian perdagangan antara AS dan China dapat diselesaikan dengan baik, maka prospek Malaysia untuk mencapai pertumbuhan mampan yang lebih pesat akan menjadi lebih cerah,” kata beliau,