5 lelaki dihukum penjara, sebat kerana kesalahan gay

Kumpulan itu ditangkap di sebuah apartmen di luar Kuala Lumpur pada November tahun lepas.

KUALA LUMPUR: Lima lelaki dijatuhi hukuman penjara dan sebatan oleh mahkamah syariah kerana cuba mengadakan hubungan seks gay, lapor akhbar tempatan dan aktivis.

Keputusan itu menyusul hukuman merotan ke atas dua wanita berhubung kesalahan seks lesbian.

Mahkamah Syariah Shah Alam menjatuhkan hukuman ke atas empat lelaki enam bulan penjara dan enam sebatan serta denda RM4,800 setiap seorang, lapor Harian Metro.

Dalam pada itu, seorang lelaki lain pula dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan, enam sebatan dan denda RM4,900.

Mereka ditahan di sebuah apartmen di luar Kuala Lumpur Nov tahun lalu.

Mereka didapati bersalah kerana cuba mengadakan seks di luar tabii, kesalahan di bawah undang-undang Islam.

Aktivis hak asasi gay, Numan Afifi, yang menghadiri prosiding mahkamah memberitahu AFP, hukuman itu akan mewujudkan “budaya ketakutan”, sambil menambah “ia adalah ketidakadilan luar biasa dan dahsyat bagi negara kami”.

Pengkritik mengatakan terdapat peningkatan tekanan terhadap komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di Malaysia.

Selain mengenakan sebatan ke atas dua wanita tahun lepas di bawah undang-undang syariah, menteri hal ehwal Islam juga pernah mengeluarkan kenyataan tidak memihak kepada golongan homoseksual dan telah memerintahkan agar gambar aktivis LGBT dikeluarkan dari pameran awam.

Liwat satu jenayah di bawah kanun prosedur jenayah biasa di Malaysia dan juga di bawah undang-undang Islam, tetapi jarang ada individu didapati bersalah atas jenayah itu.