Tg Piai: Pembangkang mahu SPR larang kerajaan PH beri RM1,000 kepada nelayan semasa kempen

Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan berkata, bantuan hendaklah diberikan selepas pilihan raya berakhir.

KUALA LUMPUR: Wakil pembangkang hari ini mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyatakan pendirian tegas melarang rancangan kerajaan Johor memberi bantuan khas RM1,000 kepada nelayan di Tanjung Piai minggu depan semasa kempen pilihan raya sedang berjalan.

Ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan membuat desakan itu selaras dengan peratuan yang ditetapkan oleh SPR sebelum ini yang melarang sebarang pemberian sumbangan kepada pengundi ketika kempen pilihan raya.

Beliau turut mempersoal pendirian Menteri Pertanian Industri dan Asas Tani, Salahuddin Ayub yang mengatakan pemberian sumbangan itu tidak menjadi satu kesalahan.

“Saya mohon supaya SPR berlaku adil dan perlu tegas dalam melaksanakan peraturan pilihan raya dan hendaklah membuat kenyataan bahawa program seumpana itu tidak patut dilakukan ketika tempoh kempen.

“Saya tanya soalan tambahan kepada menteri (Salahuddin), menteri kata pada pandangannya ia bukan satu kesalahan, walhal dalam sebaran oleh SPR untuk pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini, termasuk PRK Rantau.

“Kita boleh tengok memberi makanan dan minuman kepada penggundi pun adalah menjadi satu kesalahan, inikan pula beri wang tunai RM1000 kepada penggundi ketika kempen,” katanya ada sidang media di Parlimen hari ini.

Dalam perkembangan sama, Ahmad turut mendesak kementerian dan kerajaan Johor membatalkan hasrat memberikan wang tunai kepada nelayan di Tanjung Piai minggu depan.

“Kita minta tangguh sehingga PRK selesai. Sebelum pilihan raya kenapa tidak beri,” katanya selain berkata, kerajaan BN memberi bantuan sama sebanyak RM2,000 kepada nelayan sebelum ini.

Sebelum ini, Menteri Besar Johor Dr Sahruddin Jamal berkata, seramai 1,513 nelayan di kawasan Johor Selatan, termasuk 544 orang di Tanjung Piai akan menerima bantuan khas nelayan sebanyak RM1,000 bermula minggu depan.

Katanya, pemberian bantuan khas yang dianggarkan bernilai lebih RM1.5 juta itu akan diberikan secara berperingkat melalui tiga fasa.

Sahruddin dalam pada itu menafikan dakwaan bahawa bantuan yang diberikan itu merupakan “gula-gula” sempena PRK Tanjung Piai 16 Nov depan.

Katanya bantuan itu tidak pernah tertangguh seperti yang dilaporkan kerana ia diberikan sejak tahun 2015.

Laporan media sebelumini memetik dakwaan masyarakat nelayan di Tanjung Piai bahawa wang sagu hati atau wang ihsan yang pernah dinikmati sejak 2016, masih belum diterima sehingga kini.

Dalam perkembangan berkaitan, pemantau pilihan raya Bersih 2.0 menyuarakan kekecewaannya berhubung langkah kerajaan PH menyalahgunakan sumber kerajaan semasa PRK yang sedang berjalan.

Jawatankuasa Pemandu badan itu dalam satu kenyataan berkata, perbuatan memancing undi dengan wang pembayar cukai bagi memenangi pilihan raya jelas tidak beretika.

“Bersih 2.0 ingin lahirkan rasa kecewa kami dengan perlakuan kerajaan PH yang menyalahgunakan sumber kerajaan semasa PRK Tanjung Piai.

“Percubaan memancing undi nelayan tidak bertentangan dengan undang-undang sedia ada, tetapi ia jelas sekali tidak beretika untuk parti politik menggunakan duit pembayar cukai bagi memenangi pilihan raya,” katanya hari ini.