Pelajar tingkatan 4 maut, 2 cedera dirempuh bas persiaran

Seorang penunggang motosikal maut manakala dua lagi mengalami kecederaan parah selepas kenderaan mereka dirempuh sebuah bas persiaran semalam. (Gambar Facebook)

GEORGE TOWN: Seorang penunggang motosikal maut manakala dua lagi mengalami kecederaan parah selepas kenderaan mereka dirempuh sebuah bas persiaran dalam kemalangan di persimpangan empat lampu isyarat Setia Triangle Bayan Lepas, dekat sini semalam.

Dalam kemalangan kira-kira 6.30 petang itu, penunggang motosikal, Muhammad Saifullah Muhammad Hafeiz, 16, yang merupakan pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Sungai Ara meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt A. A Anbalagan berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku membabitkan lima kenderaan termasuk bas persiaran dan motosikal ditunggang mangsa yang turut bekerja sambilan di sebuah restoran makanan segera.

“Bas itu dari Persiaran Kelicap menghala Bayan Lepas dan semasa melalui di Persiaran Kelicap, bas tersebut bergesel dengan sebuah kereta Proton Waja yang diparkir di tepi jalan di situ sebelum melanggar kereta Suzuki Swift dipandu seorang wanita bersama dua anaknya, yang sedang membelok ke kanan.

“Selepas itu bas tersebut melanggar sebuah motosikal di parkir di bahu jalan dan bergerak terus sehingga ke lampu isyarat Jalan Datuk Ismail Hashim sebelum merempuh motosikal ditunggang remaja lelaki tersebut yang sedang berhenti di lampu isyarat persimpangan jalan berkenaan,” katanya di sini.

Anbalagan berkata bas itu yang dipercayai mengalami masalah brek dan hilang kawalan turut melanggar tembok batu pagar kawasan perumahan di situ.

“Menurut pemandu bas berusia 49 tahun itu, dia gagal mengawal bas kerana kenderaan tersebut mengalami masalah brek. Lelaki tersebut mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Katanya dua anak perempuan pemandu kereta Suzuki Swift yang terlibat dalam kemalangan itu mengalami kecederaan parah dan sedang menerima rawatan di sebuah hospital swasta di George Town.

Menurutnya mayat remaja lelaki itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat.

“Pemandu bas itu ditahan untuk siasatan lanjut dan polis akan menjalankan ujian air kencing untuk mengetahui sama ada lelaki tersebut memandu di bawah pengaruh dadah atau sebaliknya,” katanya.