Kenapa ulang dasar Bumiputera yang pernah gagal, ahli ekonomi soal Putrajaya

Edmund Terrence Gomez berkata Mahathir Mohamad pada 2003 akui dasar Bumiputeranya gagal.

KUALA LUMPUR: Ahli ekonomi Edmund Terrence Gomez menyoal keputusan kerajaan untuk kembali melaksanakan dasar afirmatif untuk Bumiputera sedangkan dasar itu gagal menghasilkan keputusan yang diinginkan.

Mengatakan boleh diterima jika kerajaan mahu kembali kepada dasar berasaskan kaum, beliau menegaskan ia perlu dibahaskan bagi memastikan keberkesanannya.

Beliau berkata Dr Mahathir Mohamad pada 2003 secara terbuka akui dasar Bumiputeranya gagal sebelum beliau berundur sebagai perdana menteri.

“Sudahkah kita bahaskan tentang bagaimana menjayakannya secara serius dan bermakna sekiranya kita mahu mengekalkannya? Di manakah salurannya?

“Jika anda mahu cari suatu pendekatan campuran, mari kita cari pendekatan itu. Tetapi apakah campurannya? Mereka belum putuskan lagi.

“Sebaliknya, cadangan-cadangan dasar itu nampak betul-betul seperti cadangan dasar pada 1980-an dan 1990-an.

“Apa yang saya nampak dalam dasar Wawasan Kemakmuran Bersama adalah pembahagian antara Bumiputera dan bukan Bumiputera sekali lagi. Tidak ada idea sebenar tentang bagaimana untuk melakukannya dengan betul.

“Jika dasar itu pernah gagal, kenapa kita ulang dasar yang sama?” katanya pada perbincangan panel di Persidangan Ekonomi Belia hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Ahmad Yazid Othman, yang juga peserta panel, berkata perbadanan besar seperti YTL dan Berjaya Group tidak berbuat apa-apa untuk membantu Bumiputera.

Ini mengundang jawapan daripada Gomez, yang bertanyakan adakah tokoh korporat Bumiputera seperti Halim Saad, Tajuddin Ramli, Shamsuddin Abdul Kadir dan Samsudin Abu Hassan pernah berbuat apa-apa untuk masyarakat Melayu.

Beliau menegaskan perniagaan tidak ditubuhkan untuk kerja-kerja sosial tetapi didorong keuntungan, dan menambah perniagaan akan muflis jika mereka tumpu sepenuhnya kepada membantu masyarakat atau perjuangan tertentu.

“Kalau perniagaan itu untuk keuntungan, saya tidak akan paksa kamu buat kerja sosial kerana saya tahu mereka tidak boleh tanggung risiko sebegitu.

“Kepentingan utama mereka ialah kesejahteraan syarikat kerana mereka perlu pastikan syarikat mereka boleh berkembang.”